Bagnaia takluk Buriram, terus himpit Martin

Bagnaia takluk Buriram, terus himpit Martin

Buriram: Francesco Bagnaia memenangi MotoGP Thailand menewaskan Jorge Martin dalam hujan, hari ini, sekali gus mengurangkan jurang mata dengan pendahulu kejuaraan ketika berbaki dua perlumbaan lagi.

Jurang antara pendahulu, Martin dari Sepanyol, dengan juara bertahan dari Itali, Bagnaia, kini berkurang daripada 22 mata kepada 17 mata, menjelang persaingan seterusnya di Sepang, Malaysia, minggu depan.

Pedro Acosta menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam keadaan hujan di Buriram, namun tumpuan kekal pada persaingan antara Martin dan Bagnaia, dengan kejuaraan kini menjadi persaingan dua penjuru yang mungkin berlanjutan hingga ke penamat musim.

Selepas Malaysia, pusingan terakhir musim ini akan berlangsung di Valencia pada 15 sehingga 17 November.

Martin dari pasukan Pramac Ducati, yang sedang berusaha meraih gelaran dunia pertamanya, berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua, dengan perbezaan hampir tiga saat di belakang.

Bagnaia pula mengucapkan terima kasih kepada pasukan Ducati kerana mengekalkan harapannya untuk meraih gelaran dunia ketiga berturut-turut.

Pelumba berusia 27 tahun itu berkata, ini kali pertama dia menang dalam keadaan hujan.

“Ia bukan perlumbaan yang mudah, sangat panjang dan mencabar tetapi sebaik sahaja saya bermula, saya berasa yakin.

“Saya tahu penting untuk mengurangkan jurang mata dalam kejuaraan. Ia hari yang baik buat kami dan 17 (jurang mata) adalah angka yang baik bagi saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top