Bahagia dengan keunikan

Bahagia dengan keunikan

am@hmetro.com.my

Ampang: “Saya tak pernah anggap ia satu kecacatan atau kekurangan tapi keunikan yang ada jadi buat apa nak malu?”

Itu kata Noor Dyana Sudin, 23, yang tampil yakin walaupun dilahirkan dengan tanda lahir iaitu tahi lalat besar pada bahagian bawah bibirnya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, sokongan keluarga juga yang membuatkannya bersemangat dan terima segala kelebihan atau kekurangan pada diri.

Bercerita lanjut, Noor Dyana yang menetap di Pandan Indah, dekat sini berkata, dia anak ketujuh daripada sembilan beradik dan satu-satunya dalam keluarga yang mempunyai tanda lahir pada wajah.

“Keluarga okay dan memang terima cuma arwah ibu pernah cadangkan untuk buang…ikutkan sekarang banyak rawatan boleh buat contohnya laser.

“Tapi saya yang tak nak buang sebab anggap tanda lahir itu sebagai satu keistimewaan kerana bukan semua orang ada macam saya dan ia bukti kebesaranNya.

“Saya keluar rumah pun macam biasa saja dan tak pernah terfikir nak tutup tanda lahir yang ada setiap kali bersolek,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Lantaran kelainan pada wajah, Noor Dyana mengakui pernah diejek dan ditertawakan ketika tampil di khalayak ramai.

“Waktu kecil memang ada yang permainkan dan masih ingat lagi ada seorang lelaki paling nakal di sekolah ejek dengan kata tahi lalat saya besar sampai malu nak ke sekolah ketika itu.

“Selepas sekolah tak ada lagi mengejek cuma yang biasa saya hadap adalah pandangan pelik hingga ada gelak dan bercakap sesama sendiri di depan saya.

“Sampai sekarang pun sebenarnya kerana saya bantu keluarga di restoran jadi memang ada segelintir pelanggan pandang semacam tapi setakat itu saja tanpa datang tanya dengan saya, ” katanya.

Biar apa pun persepsi orang, Noor Dyana bersyukur insan tercinta dalam hidupnya terutama suami, Mohamad Khairul A’iimullah Mohamad Zamri, 27, sudi menerima dan tidak pernah sekali mempersoalkan kelainan yang ada pada wajahnya.

“Suami okay, tak pernah tanya pun kerana dia memang terima saya daripada awal malah perkahwinan kami bahagia terutama selepas menimang cahaya mata sulung (Mohammad Noah Iskandar Mohamad Khairul A’iimullah).

“Saya pun bersyukur dengan apa yang Allah SWT beri kerana sekurang-kurangnya saya sihat, boleh makan dan minum.

“Jadi buat yang sama macam saya, kena sentiasa positif, gembira dan bila orang tengok, anggap mereka ada rasa ingin tahu, bukan nak menilai atau perlekehkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top