Bahagia itu terlalu peribadi – Dr Fie

Bahagia itu terlalu peribadi – Dr Fie

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Bekas isteri penyanyi Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, 36, hanya mahu menjalani kehidupan sederhana, tenang dan tidak perlu membuktikan kepada sesiapa.

Ujar Dr Fie, dia tidak memerlukan untuk orang lain memahami jalan hidup yang dipilihnya kerana percaya apa diinginkan sekarang adalah kedamaian hati.

Menerusi hantaran dimuatnaik di Threads, Dr Fie berkata kebahagiaan baginya terlalu peribadi, namun cukup sekiranya memiliki ketenangan hati dalam menjalani kehidupan.

“Aku tak lagi rasa perlu buktikan pada sesiapa tentang hidup aku. Bahagia itu terlalu peribadi. Cukuplah hati aku tenang, walaupun tak semua orang faham cerita di sebaliknya.

“Aku belajar, hidup ini bukan tentang siapa paling gah, tapi siapa yang paling ikhlas mencari berkat dan redha Allah.

“Biar sederhana langkah aku, asalkan aku jujur dengan diri sendiri dan anak-anakku dan hati ini benar-benar rasa cukup,’ tulisnya pada hantaran berkenaan.

Kini berstatus ibu tunggal yang juga berkerjaya. Dr Fie menyifatkan langkah sederhana dalam kehidupannya cukup hanya dikongsikan bersama anak-anak sahaja.

Jelasnya lagi, dalam kehidupan tidak perlu menunjuk siapa yang paling gah tetapi yang penting siapa paling ikhlas mencari berkat dan reda Allah, maka itu lebih membahagiakan.

Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen bersetuju dengan pandangan positif diluahkan Dr Fie itu dalam usahanya untuk bangkit membina kehidupan baharu selepas kegagalan rumah tangga.

“Inilah cara pemikiran wanita berpendidikan, terus maju Dr Fie,” komen netizen

“Dr Fie contoh wanita cekal dan hebat. Terbaik,” ujar pengguna media sosial.

“Go Dr Fie, lupakan yang sudah berlalu dan bina hidup baru,” kata seorang wargamaya.

Baru-baru ini, Dr Fie difahamkan sudah membeli aset sendiri iaitu sebuah kereta elektrik untuk kegunaan harian termasuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.

Terdahulu pada 2 Disember 2025, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Dr Fie dan bekas suami, Nubhan Ahamad sah bercerai talak dua.

Dr Fie dan Nubhan berkahwin pada 29 Ogos 2015. Selama 10 tahun hidup bersama, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top