am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bunga ganja atau dikenali dengan panggilan ‘buds’ atau ‘nugget’ lebih berbahaya berbanding daun ganja berikutan mengandungi paling banyak bahan khayal (THC) sehingga 30 peratus atau lebih.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, bunga ganja adalah bahagian paling kuat dari pokok ganja.
“Ia terletak di bahagian atas pokok dan mengandungi paling banyak THC yang menjadi bahan utama sehingga menyebabkan penagih berasa cepat khayal.
“Walaupun masih dari pokok ganja yang sama, bunga ganja jauh lebih kuat kesannya berbanding daun atau batang pokok ganja biasa. Ia biasanya digunakan melalui cara menghisap seperti rokok, dimasukkan dalam makanan atau minuman (edibles), atau dijadikan cecair untuk vape (rokok elektronik),” katanya.
Menurutnya, bunga ganja juga dikategorikan sebagai dadah bahaya mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kajian antarabangsa mendapati, kesan penyalahgunaan ganja ini meliputi dua perkara iaitu kesan hallucinogens yang mengganggu pandangan, persepsi sehingga mengakibatkan pengguna berhalusinasi.
“Kesan kedua pula ialah depressants yang memberi kesan menenangkan, tapi masih boleh melemahkan kawalan otak dan tubuh,” katanya.
Menurutnya, terdapat kristal halus berkilau dipanggil trichomes yang penuh dengan bahan khayal THC pada bunga ganja.
“Kandungan THC sangat tinggi iaitu antara 15 peratus hingga 30 peratus atau lebih.
“Kesan penagihan bunga ganja menyebabkan penagih lebih cepat khayal, lebih kuat, dan boleh menyebabkan gangguan fikiran dan emosi yang lebih teruk,” katanya.
Menurutnya, ia berbeza bahagian daun ganja yang mempunyai kandungan THC lebih rendah sekitar dua peratus hingga lima peratus sahaja,
“Kesannya masih boleh menyebabkan pengguna khayal, tetapi lebih lemah dan tidak seteruk penagihan bunga ganja,” katanya,
Menurutnya, bunga ganja turut boleh menyebabkan penagih berasa terlalu euforia (keseronokkan melampau), mood berubah-ubah secara ekstrem, atau halusinasi
sekiranya mengambil dalam dos yang tinggi.
“Ada juga yang berasa sangat bertenaga selepas mengambil bahan itu namun, ada juga yang overdose sehingga menghadkan pergerakkan atau berfikir dengan waras.
“Hakikatnya penggunaan bunga ganja dalam penagihan bukanlah perkara baharu,
Namun aa semakin popular sejak beberapa tahun belakangan ini.
“Dahulu, kebanyak orang menggunakan daun ganja untuk menghisap atau membuat minyak, tetapi kini makin ramai memilih bunga ganja kerana mempunyai kandungan THC yang lebih tinggi,” katanya.
Ruslin berkata, walaupun bunga ganja sudah lama wujud, ia kini lebih banyak diseludup dan digunakan di pasaran gelap berikutan kesannya yang lebih kuat dan permintaan yang meningkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd