Bahana ditipu kiosk dobi 'alam ghaib'

Bahana ditipu kiosk dobi 'alam ghaib'

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua lelaki berputih mata apabila kerugian kira-kira RM161,000 akibat diperdaya `syarikat’ menawarkan pelaburan kiosk dobi layan diri yang dipercayai tidak wujud.

Kedua-dua mangsa mendakwa tertarik dengan pakej ditawarkan syarikat berkenaan yang kononnya mahu membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Sufian Sahak, 39, mendakwa bertemu dengan wakil syarikat itu yang membuka gerai promosi di sebuah pasar raya di Setiawangsa di sini, pada November 2023.

“Dia menerangkan mengenai pakej ditawarkan dan tertarik dengan penjelasan diberikan kerana kebetulan saya memang berhasrat untuk menjalankan perniagaan dobi.

“Selepas beberapa siri penerangan oleh wakil terbabit, saya bersetuju menyertainya lalu menandatangani beberapa dokumen termasuk permohonan pinjaman peribadi dengan sebuah bank. Tapi pinjaman dibuat menggunakan nama isteri memandangkan dia kakitangan kerajaan.

“Wakil itu berjanji yang perniagaan boleh dijalankan dalam tempoh dua bulan. Apabila pinjaman lulus, saya memindahkan wang secara berperingkat membabitkan jumlah keseluruhan RM83,000 namun perniagaan itu tidak wujud,” katanya di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Bercerita lanjut, Mohd Sufian berkata, wakil syarikat itu memberikan pelbagai alasan termasuk kononnya sedang mencari lokasi sesuai untuk meletakkan kiosk dobi layan diri berkenaan namun selepas hampir setahun menunggu, syarikat masih gagal menyediakannya.

“Hampir setiap bulan saya menghubunginya meminta perkembangan dan penjelasan namun pelbagai alasan diberikan. Kali terakhir saya berhubung pada Ogos tahun lalu sebelum dia kemudian gagal dihubungi lagi,” katanya yang berasa tertipu lalu membuat laporan polis pada Disember tahun lalu.

Seorang lagi mangsa mahu dikenali Ahmad, 34, berkata dia tertarik dengan pakej ditawarkan syarikat berkenaan selepas berkunjung ke gerai promosi di sebuah pasar raya di Puchong, Selangor, pada Februari 2020.

Lebih menarik minatnya apabila dia dibawa mengikuti penerangan lanjut di pejabat dan melawat beberapa lokasi pembukaan kiosk dobi layan diri berkenaan sebelum bersetuju menandatangani beberapa dokumen termasuk permohonan pinjaman peribadi dengan sebuah bank.

“Malangnya selepas pinjaman diluluskan, negara menghadapi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat Covid-19 dan ia tertangguh selama sebulan sebelum wakil itu beritahu syarikat sudah dibenarkan beroperasi semula dan minta saya buat bayaran secara berperingkat berjumlah RM78,000.

“Selepas beberapa bulan menunggu, dia beri alasan lokasi saya pilih di Bukit Jalil dah ada peniaga lain serta terpaksa tukar lokasi ke Puchong,” katanya.

Kakitangan swasta itu berkata, meskipun sudah empat berlalu perniagaannya tidak berjalan dan wakil terbabit gagal dihubungi menyebabkannya nekad membuat laporan polis pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya memohon kerjasama polis supaya satu siasatan yang menyeluruh dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan syarikat menyebabkan mangsa menghadapi kerugian besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top