Bahasa pelik rahsia suami 'penyayang'

Bahasa pelik rahsia suami 'penyayang'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Suamiku dua alam.”

Itu yang terjadi kepada segelintir wanita bergelar isteri apabila mengetahui suami yang menampilkan sifat penyayang serta bertanggungjawab di rumah mempunyai skandal dengan lelaki lain di luar.

Menceritakan kisah hitam itu, wanita yang mahu dikenali sebagai Nadia, 42, menyatakan bahawa semua itu terbongkar menerusi perbualan kumpulan WhatsApp yang mengandungi pelbagai bahasa pelik.

“Ini kisah gelap rumah tangga saya, selepas berdekad bersama (dengan suami), tahun lalu saya baru mengetahui suami mempunyai keinginan biseksual.

“Saya seringkali membaca perbualan grup WhatsApp yang mempunyai bahasa pelik seperti ‘bawal putih’, ‘cuci karpet’, ‘kon’ dan beberapa perkataan lain, namun saya tidak curiga apa-apa yang pelik.

“Sehinggalah awal tahun lalu, saya jarang ingin membuka penyata kad kredit suami, namun ketika itu saya tergerak hati untuk melihat penyata berkenaan dan amat memeranjatkan begitu banyak transaksi di ‘pusat kesihatan lelaki’,” katanya.

Bercerita lanjut, Nadia berkata, dia melakukan semakan di internet dan pergi melihat sendiri pusat kesihatan berkenaan berdasarkan rujukan transaksi.

“Daripada luar, nampak seperti pusat kesihatan yang tulen, namun saya tidak sedap hati, saya mencari beberapa maklumat di internet.

“Saya juga akan rujuk perkataan pelik itu dengan kawan-kawan, mereka menyatakan bahawa itu kod yang sering digunakan oleh golongan songsang.

“Seakan tidak percaya, tetapi saya gagahkan diri bertanya sendiri dengan suami dan beberapa ketika dia mengelak namun akhirnya dia mengaku tentang perbuatannya,” katanya.

Menurutnya, dia kini sedang melalui proses kaunseling dan tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan perceraian jika suaminya tidak mahu mengubah cara hidupnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top