PERNAH atau tidak, hati terasa geram atau cemburu apabila melihat orang lain ‘lebih’ daripada kita, sedangkan kita tidak begitu.
Kadangkala perasaan itu hadir tanpa diundang, sekadar membandingkan apa yang dimiliki orang lain dengan diri sendiri.
Sedarlah jika tidak dikawal, ia boleh menjadi pintu masuk kepada penyakit hati yang sangat berbahaya iaitu hasad dengki.
Menurut pendakwah, Ustazah Asma’ Harun, penyakit itu bukan sekadar membuat hati kita gelisah, bahkan boleh menghapuskan pahala amalan yang dikumpulkan.
Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Jauhilah sifat hasad (dengki) kerana sesungguhnya hasad itu memakan pahala-pahala (kebaikan) seperti api memakan kayu bakar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

USTAZAH ASMA’
Beliau kemudian memberi contoh, rasa tidak puas hati itu kadang-kadang bermula daripada perkara kecil.
“Contohnya, rasa mak atau ayah lebih sayang kepada adik. Rasa dia dapat lebih daripada kita. Dulu masa kita belajar, usahkan kereta, motosikal pun tiada, tapi adik dapat kereta ketika di universiti untuk ulang-alik. Sedangkan kita dahulu hanya menaiki bas.
“Bila kita ungkit masa lalu dengan membandingkan kelebihan orang lain pada hari ini, dibimbangi ia menimbulkan hasad dengki,” katanya sepertimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Penyakit hati yang paling parah’ di akaun Facebook miliknya pada Rabu.
Jelas penceramah itu, hasad dengki adalah penyakit hati yang disebut secara khusus oleh Rasulullah SAW sebagai punca gugurnya pahala amalan soleh.
“Apabila seseorang itu hasad dengki, dia mungkin ada pahala solat, puasa, sedekah dan sebagainya, tetapi kerana hasad dengki, pahala-pahala itu boleh hilang, boleh gugur,” tegas beliau.
Namun, Islam tidak membiarkan penyakit hati tanpa penawar.
Berkongsi cara merawatnya, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, langkah pertama adalah mendoakan kebaikan untuk orang yang menjadi sasaran rasa tidak puas hati itu.
“Rasa itu susah nak digambarkan. Kadang-kadang datang perasaan ‘hek eleh, macam bagus’. Rasa-rasa begini perlu dilawan dengan mendoakan orang tersebut.
“Ini bukan kata-kata saya, tetapi kata para alim ulama’ dan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak ada seorang hamba Muslim yang mendoakan saudaranya (sesama Muslim) dalam keadaan ghaib (tanpa diketahui), melainkan malaikat akan berkata: “Dan untukmu yang sama (juga).” (Hadis Riwayat Muslim)