BAHAYA KETAGIHAN ‘GAME’ DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Petaling Jaya: ‘Game’ atau disebut sebagai permainan video dalam talian telah menjadi tabiat harian bagi kanak-kanak pada masa kini. Antara ‘game’ yang diminati oleh kanak-kanak Roblox, Mobile Legend, Minecraft, PUBG dan lain-lain. Mereka menjadikan ‘game’ tersebut sebagai tempat mereka meluangkan masa tetapi pada masa yang sama ia akan menyebabkan ketagihan yang melampau kepada kanak-kanak.

Isu yang hangat sekarang ialah ‘Berang sejuta ‘point’ permainan Roblox hilang, abang disyaki kelar adik di Parit Raja’, permainan Roblox ini menyebabkan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak sehingga mereka sanggup kelar adiknya sendiri hanya disebabkan ‘point’ Roblox. Ketagihan yang melampau akan menyebabkan prestasi akademik yang teruk serta menjejaskan kesihatan fizikal dan mental seperti tekanan emosi dan kurang tidur.

KESAN BURUK KETAGIHAN ‘GAME’ DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Ketagihan ‘game’ dalam kalangan kanak-kanak perlu diambil berat bagi mengelakkan kanak-kanak semakin terjerumus dalam dunia ‘game’. Antara kesan buruk ketagihan ‘game’ dalam kalangan kanak-kanak ialah berlaku masalah hubungan sosial dengan masyarakat, apabila kanak-kanak  terpengaruh dengan dunia ‘game’ mereka akan kurang bersosial dengan keluarga serta rakan sebaya kerana mereka lebih memilih untuk mengasingkan diri. Kanak-kanak lebih memilih untuk berinteraksi dalam dunia maya daripada meluangkan masa bermain di luar rumah.

Selain itu, kesan daripada ketagihan game juga menyebabkan kurangnya disiplin terhadap pengurusan masa. Hal ini dikatakan demikian kerana, kanak-kanak yang terlibat dalam dunia ‘game’ mereka tidak mengambil peduli terhadap pengurusan rutin harian seperti mandi, makan tepat waktu, dan tidur. Perkara ini berlaku sekiranya ibu bapa mengambil enteng terhadap penggunaan peranti elektronik secara berlebihan, malahan waktu tidur kanak-kanak juga terjejas apabila mereka terlalu leka dengan ‘game’ kerana bermain sehingga lewat malam dan tidak mempunyai waktu tidur yang cukup.

Seterusnya, kanak-kanak cepat terpengaruh dengan apa yang mereka nampak daripada ‘game’ sehinggakan memberi kesan terhadap tingkah laku dan agresif kanak-kanak. Kita dapat lihat bahawa kanak-kanak yang terpengaruh dengan ‘game’ mereka akan lebih cepat emosi serta mereka  marah kepada sesiapa sahaja yang mengganggu mereka semasa bermain game dan mereka juga akan mudah memberontak sekiranya kalah dalam permainan tersebut. Malahan, gaya percakapan kasar atau mencarut juga sudah sebati dalam diri kanak-kanak pada masa kini serta meniru perbuatan ganas yang dilakukan dalam ‘game’ seperti membunuh.

Pada masa sekarang, kita dapat menyimpulkan bahawa ‘game’ sangat berbahaya terutama kepada kanak-kanak kerana mereka cepat terpengaruh dan ketagih terhadap sesuatu perkara yang menarik minat kepada mereka. Ketagihan yang melampau akan membuatkan kanak-kanak lebih suka kehidupan maya berbanding realiti yang menyebabkan mereka sukar untuk mengurus kehidupan mereka. 

LANGKAH MENANGANI KETAGIHAN ‘GAME’ DALAM KALANGAN KANAK-KANAK.

Ibu bapa adalah individu yang sangat dekat dengan anak-anak mereka, malahan mereka memainkan peranan yang sangat besar untuk menangani ketagihan ‘game’ dalam kalangan kanak-kanak. Corak kehidupan kanak-kanak dipengaruhi daripada cara didikan ibu bapa mereka, didikan yang tepat akan menjadikan anak-anak lebih berdisiplin.

Pertama, langkah menangani ketagihan ‘game’ dalam kalangan kanak-kanak adalah ibu bapa perlu menetapkan had penggunaan peranti kepada anak-anak. Penggunaan peranti elektronik perlu dikawal dalam kalangan kanak-kanak bagi mengelakkan ketagihan ‘game’ yang melampau, salah satu cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dengan menetapkan masa bermain harian sebagai contoh penggunaan elektronik atau bermain ‘game’ hanya dibenarkan dalam 1 hingga 2 jam sahaja. Selain itu, ibu bapa perlu menggunakan screen time atau parental control  dalam peranti elektronik kanak-kanak bagi mengelakkan penggunaan yang berlebihan serta mereka juga perlu mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain ‘game’ pada waktu malam atau sebelum tidur.

Kedua, ibu bapa juga perlu menjadi role model kepada anak-anak dalam penggunaan elektronik secara teratur. Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak tanpa menggunakan peranti elektronik sebagai contoh riadah, bermain lego, berkebun, bercerita, mewarna dan banyak lagi. Anak-anak akan meniru perbuatan ibu bapa mereka di rumah tanpa mengira baik atau buruk dan mereka akan mengamalkan perbuatan tersebut dalam kehidupan seharian. Ibu bapa perlu sentiasa pantau anak-anak mereka dan menjadi role model dalam penggunaan peranti elektronik bagi mengurangkan ketagihan ‘game’ dalam kalangan kanak-kanak.

Ketiga, ibu bapa juga perlu memantau kandungan dan rakan dalam talian kanak-kanak bagi memastikan mereka sentiasa dalam keadaan yang terkawal dan selamat. Ibu bapa perlu memastikan kandungan ‘game’ sesuai dengan umur anak-anak dengan merujuk penarafan ‘game’ tersebut. Selain itu, ibu bapa juga perlu memantau ruang sembang dan komuniti yang mereka sertai bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam benda-benda yang tidak senonoh. Perkara yang paling penting ialah ibu bapa perlu menerangkan kepada anak-anak mereka tentang bahaya berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali dalam talian kerana takut berlaku penipuan, penculikan, ugutan dan gangguan seksual dalam talian.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengurus anak-anak mereka supaya tidak terlibat dengan ‘game’ bagi mengelakkan ketagihan yang melampau bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Pengawalan secara berkala akan mengurangkan kanak-kanak ketagihan dengan ‘game’.

KESIMPULAN

Kanak-kanak juga salah satu aset yang berharga di negara ini supaya dapat melahirkan masyarakat yang bijak dan berguna, tetapi gajet merupakan cabaran yang utama untuk membina kanak-kanak menjadi generasi yang bijak. Hal ini dikatakan demikian kerana, majoriti kanak-kanak terpengaruh dengan bermain ‘game’ menggunakan peranti seperti telefon, tablet dan laptop. Oleh itu, peranan ibu bapa sangat penting dalam mendidik anak-anak bagi mengelakkan kanak-kanak ketagihan secara berlebihan dengan ‘game’.

Oleh: Nur Syadiqah binti Wahdine
Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

 

Scroll to Top