Bahaya suntikan kurus: Wanita beberapa kali masuk hospital

Bahaya suntikan kurus: Wanita beberapa kali masuk hospital

London: Gara-gara ‘ketagih’ mengambil suntikan untuk menurunkan berat badan, seorang wanita di United Kingdom (UK) terpaksa menanggung akibatnya apabila kerap dimasukkan ke hospital.

Metro UK melaporkan, sebelum dimasukkan ke hospital, badan Ana Noulty, 30, lemah hingga tidak dapat berjalan selain muntah selama berjam lamanya.

Ana mengambil suntikan itu kerana nekad menurunkan berat badan.

“Saya berkahwin pada 2021 dan berat badan semakin meningkat.

“Berat badan (saya) naik antara 2.7 hingga 7.7 kilogram (kg) kerana tidak bersenam dan malas diet kerana sibuk dengan kerja,” kata Ana kepada Metro.

Oleh kerana bimbang ditegur doktor untuk diet dan bersenam bagi menurunkan berat badan, Ana mencari alternatif iaitu dengan mengambil suntikan.

“Saya membelinya dari laman web farmaseutikal,” katanya.

Menurut Ana, suami, ibu dan kakaknya bimbang dengan keputusannya mengambil suntikan penurunan berat badan.

“Tiada seorangpun daripada mereka yang menyokong keputusan saya dan mengatakan saya mungkin lebih selamat menurunkan berat badan secara perlahan-lahan dengan pergi bersenam di pusat gimnasium dan menukar diet.

“Tapi saya mempunyai masalah makan yang tidak teratur sejak remaja, jadi walaupun tahu ia (suntikan) boleh memberi kesan kepada ramai orang.

“Saya mahu cuba ambil suntikan kerana tahu jika saya boleh mengurangkan berat badan, saya mungkin akan dapat mengekalkannya,” katanya.

Ana terpaksa mengambil suntikan sekali seminggu, dengan harga sebulan bermula dengan kos 150 pound sterling (kira-kira RM870) sebelum ia meningkat kepada 210 pound sterling (kira-kira RM1,218).

Selepas memulakannya pada Ogos tahun lalu, Ana kehilangan berat sebanyak 18 kg dalam masa 12 minggu sahaja, namun kesan sampingannya muncul serta-merta.

“Saya sangat gembira dengan penurunan berat badan saya, tetapi benci kerana mula kehilangan rambut saya,” katanya.

Kesan sampingan semakin ketara sehingga wanita itu beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Semasa pemulihannya berterusan, Ana mengakui dia tergoda untuk memulakan suntikan semula – tetapi kenangan beberapa kali dimasukkan ke hospital menyebabkan dia menangguhkan hasrat itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top