nfazlina@nstp.com.my
Rantau Panjang: “Baju dan kasut sekolah semua tenggelam banjir dan peralatan untuk menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), esok, hasil ihsan rakan”. Demikian luahan Nur Intan Lydiana Mahrulsulam, 17, iaitu antara calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang yang dipindahkan dari rumahnya di Kampung Bonggol Kulim di sini, hari ini, untuk menduduki ujian itu di sekolah lain di Pasir Mas, esok.
Anak kedua daripada empat adik beradik itu berkata, sudah beberapa hari dia terpaksa mengulang kaji dalam keadaan gelap apabila elektrik di rumahnya, tiada.
“Emosi saya memang terjejas dengan keadaan rumah dilanda banjir, saya berada di tingkat atas dan elektrik sudah ‘dimatikan’ sejak beberapa hari lalu.
“Pakaian sekolah juga tenggelam banjir dan semalam pula dimaklumkan terpaksa dipindahkan ke sekolah lain.
“Tak tau nak rasa macam mana kerana saya tidak pernah jangka keadaan jadi seperti ini. Justeru, saya serahkan kepada takdir esok untuk masa depan saya,” katanya ketika ditemui di PPS Gual Tinggi, hari ini.
Katanya, walaupun emosi terganggu namun dia akan mencuba sebaik mungkin untuk menjawab kertas peperiksaan SPM, esok.
Sementara itu, rakannya, Wirod Wet Chuen, turut memaklumkan terpaksa belajar menggunakan lilin sejak beberapa hari lalu apabila rumahnya dilanda banjir sehingga menenggelamkan tingkat bawah.
“Sejak beberapa hari lalu, saya hanya mengulang kaji di atas katil dengan tiada (bekalan) elektrik. Sedikit sebanyak, emosi saya terjejas untuk berdepan SPM esok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




