Status hubungan penyanyi dan pelakon popular, Erra Fazira, 51, bersama usahawan Ezwan Zain terus menjadi bualan hangat selepas timbul khabar angin mendakwa pasangan ini bakal menamatkan zaman solo pada Oktober 2025.
Spekulasi semakin hangat apabila ada pihak mendakwa mereka kini sibuk meninjau lokasi perkahwinan.
Tidak menafikan perkara itu, pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek mengakui dirinya dan Ezwan sudah bersedia melangkah ke fasa yang lebih serius.
“Untuk memudahkan semua pihak, Alhamdulillah, berkat doa semua pihak mungkin jika ada yang mengizinkan, kami mahu ke fasa seterusnya iaitu alam perkahwinan.
“Kami juga sudah mendapat lampu hijau daripada pihak keluarga, anak dan semua orang sudah okay. Cuma sekarang ini persediaan antara kedua pihak kerana kami masih lagi mempunyai beberapa perkara yang perlu diselesaikan.
“Insya-Allah, jika bukan dalam masa terdekat, mungkin tahun hadapan,” katanya
Erra yang menjalin hubungan sejak Ogos 2024 itu berharap ikatan tersebut berakhir dengan sebuah perkahwinan yang diberkati.
“Saya masih lagi mengharapkan doa yang baik-baik dari semua pihak terutamanya sahabat dan keluarga. Ini kerana saya tidak tahu apa perkara yang bakal mendatang kemudian hari.
“Setakat ini, kami berdua hanya fokus untuk selesaikan komitmen masing-masing terlebih dahulu,” ujarnya.
Sumber: Utusan