kartika@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: The Store Corporation Sdn Bhd (The Store) merancang membuka cawangan baharu di Segamat, Johor menjelang November ini menjadikan keseluruhan 47 cawangan The Store di seluruh negara.
Pengurus Besar Kumpulan The Store (Bahagian Operasi dan Pasaraya), Yap Choon Meng berkata, cawangan baharu itu nanti akan ditambah baik bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.
Katanya, selain itu syarikat merancang untuk menaik taraf cawangan sedia ada bermula tahun ini dan akan diteruskan sehingga tahun depan.
“Untuk cawangan baharu di Segamat itu nanti kami akan fokus lebih kepada bahagian pakaian, manakala perancangan ubah suai serta naik taraf kami tidak hanya fokus pada The Store, tetapi juga cawangan Pacific.
“Proses naik taraf sudah dimulakan di Kota Bharu, Kelantan dan akan diteruskan di cawangan lain,” katanya kepada Bisnes Metro yang ditemui di majlis penyampaian Hadiah Ulang Tahun ke-56 Kumpulan The Store di sini, semalam.
Seramai 12 pemenang bertuah terpilih membawa pulang Perodua Ativa, Perodua Axia dan 10 motosikal Modenas Kriss sempena Peraduan Sambutan Ulang Tahun ke-56 Kumpulan The Store.
Pelanggan The Store, Masrina Ismail dari Kuala Terengganu, berjaya memenangi hadiah utama berupa kereta Perodua Ativa 1000 Turbo X (CVT) manakala Ooi Li Khoon dari Alor Setar, Kedah memenangi Perodua Axia 1000G (CVT).
Untuk hadiah istimewa pula, 10 pemenang bertuah masing-masing memenangi motosikal Modenas Kriss MR3 110cc.
Keputusan rasmi itu disiarkan di platform media sosial Kumpulan The Store dan notis pemberitahuan pemenang juga dipaparkan di semua cawangan The Store dan Pacific di seluruh Malaysia.
Peraduan Sambutan Ulang Tahun ke-56 Kumpulan Store berlangsung dari 24 Mei sehingga 16 September 2024 dengan hadiah bernilai RM500,000 ditawarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd