Penyanyi terkenal, Sufian Suhaimi berkongsi berita gembira apabila isterinya, Rania Al Sada kini sedang hamil anak sulung mereka dan hanya menunggu masa untuk bersalin.
Kandungan isteri cecah 36 minggu
Memetik laporan daripada mStar, Sufian mengakui dirinya kini dalam fasa teruja dan berdebar menantikan detik bergelar bapa buat pertama kali memandangkan usia kandungan isteri sudah mencecah 36 minggu.
“Ya, betul. Saya bakal menjadi seorang bapa. Selepas ini jangan panggil saya Baby Pian lagi, panggil saya Daddy Pian.
“Sekarang dalam 36 ke 37 minggu. Jadi tunggu bila-bila masa sahaja. Untuk jantina biarlah rahsia dahulu” katanya.

Persiapan dari segi emosi dan mental
Berkongsi mengenai persiapan, Sufian menyatakan segala kelengkapan bayi sudah disediakan lebih awal, namun dari segi emosi dan mental, dia masih dalam keadaan berdebar seperti bakal bapa lain.
Walaupun sudah menghadiri kelas persediaan, pengalaman pertama ini tetap membuatkan dirinya tidak sabar menanti kehadiran cahaya mata.
“Saya rasa dah sedia. Maksud saya, dari segi persediaan barang-barang memang dah siap. Tapi persediaan emosi dan mental itu masih lagi berdebar.
“Sebab bila tanya kawan-kawan pun, tak ada yang 100 peratus bersedia bila nak dapat anak pertama. Jadi saya rasa saya pun dalam situasi yang sama. Tapi secara keseluruhan, memang sangat teruja,” ujarnya.

Isteri tak alami alahan teruk
Dalam masa sama, Sufian turut meluahkan rasa syukur apabila isterinya tidak mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan.
Malah, dia memuji kekuatan isterinya yang masih aktif melakukan rutin harian termasuk berjalan sejauh tiga kilometer setiap hari bagi memudahkan proses bersalin.
“Alhamdulillah, dia sangat kuat. Tak ada apa-apa yang ekstrem. Alahan pun ringan saja masa trimester pertama. Mengidam pun tak ada. Biasa saja sebab kami memang suka makan dan food hunting.
“Walaupun dia nampak manja dan lembut, sebenarnya dia kuat. Dia masih aktif, bukan jenis yang tak boleh buat apa-apa. Setiap hari lepas Subuh, kami cuba berjalan sekitar tiga kilometer,” ujarnya.
Mengenai nama bayi, Sufian memaklumkan mereka sudah mempunyai beberapa pilihan namun masih belum membuat keputusan muktamad.
Untuk rekod, Sufian dan isterinya sah bergelar suami isteri pada 2 Mei 2025.




