Bakal pengantin dicekup berkhalwat di hotel

Bakal pengantin dicekup berkhalwat di hotel

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Bakal pengantin yang melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini antara dua pasangan yang dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah hotel di Yong Peng, malam tadi.

Pasangan berusia 30-an dilaporkan sudah bertunang, menetap tidak jauh dari hotel terbabit, ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada jam 12 tengah malam.

Menurut JAINJ, semasa serbuan dijalankan, mereka didapati berdua-dua dalam bilik hotel terbabit tanpa ikatan sah.

“Apabila disoal siasat, pasangan ini memberitahu penguatkuasa mereka sudah bertunang dan akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi,” katanya.

Katanya lagi, di hotel sama juga, sepasang kekasih berusia lingkungan 20-an dicekup selepas disyaki berkhalwat.

“Kedua-dua mereka masih bujang dan apabila ditanya, mereka mengakui pasangan kekasih serta berhasrat untuk bertunang,” katanya.

Justeru, kedua-dua pasangan itu ditahan bagi membantu siasatan dan mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dengan denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun.

Dalam perkembangan lain, penguatkuasa JAINJ menahan penuntut wanita berusia 20-an selepas didapati berkhalwat dengan teman lelaki ketika kesemua rakannya keluar di rumah sewanya di daerah ini, petang semalam.

Menurutnya, tangkapan dilakukan pada jam 3.30 petang selepas pihaknya menerima aduan orang awam yang curiga dengan kehadiran lelaki di rumah terbabit.

“Rumah itu disewa empat penuntut wanita dan pada hari kejadian, hanya suspek tinggal berseorangan kerana rakannya keluar. Kesempatan itu diambil wanita terbabit untuk menghubungi teman lelaki datang ke rumah.

“Sebaik pintu dibuka, wanita itu berseluar pendek memakai kemeja T manakala teman lelakinya juga memakai baju sama serta berkain pelekat, sedang duduk di sofa.

“Apabila ditanya tujuan lelaki itu datang, mereka memberitahu berbincang soal pelajaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top