Bakal Realisasikan Konsert Terakhir ‘Bring Back The Bootboys’, A.C.A.B Raikan Perjalanan 30 Tahun Karier Muzik

Bakal Realisasikan Konsert Terakhir ‘Bring Back The Bootboys’, A.C.A.B Raikan Perjalanan 30 Tahun Karier Muzik

Dikenali dengan skinhead dan oi! sejak tahun 1994, kumpulan A.C.A.B bakal mengadakan persembahan terakhir menerusi konsert ‘30th A.C.A.B Final Concert’ pada 21 Disember depan bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Menutup perjalanan karier kumpulan terbabit selepas 30 tahun, konsert bertemakan ‘Bring Back The Bootboys’ bakal menjadi simbolik mengakhiri muzik A.C.A.B di kemuncak karier.

Menjanjikan persembahan bertenaga, konsert berkenaan juga bakal menghimpunkan anggota asal termasuk menampilkan persembahan istimewa daripada band Eropah, Haymaker.

Menurut penyanyi dan pemain gitar utama, Megat Hafiz, dia bersama anggota A.C.A.B yang lain mahu meraikan perjalanan muzik mereka sepanjang 30 tahun menerusi ‘30th A.C.A.B Final Concert’ kerana selepas berakhir persembahan terbabit, semua anggota bakal membawa haluan sendiri.

Demi mengubat kerinduan pengikut setia mereka, Megat akan bersama dengan anggota lama dan baharu A.C.A.B yang lain seperti Edy (gitar), Zul (dram), Sham (bes), Azrin (dram), Irfan (dram), Mono (bes) dan penampilan Andy kumpulan Flop Poppy selaku pemain bes.

“Sejujurnya, saya dan anggota lain berbangga dengan apa yang A.C.A.B sudah buat selama 30 tahun, jadi kami hendak meraikannya bersama peminat dengan konsert terakhir di Zepp KL.

“Apakah yang lebih baik daripada mengakhiri dengan mereka yang membentuk kita sampai hari ini? Ada yang tanya kenapa dibubarkan? Jawapannya, A.C.A.B sudah capai matlamat dalam arena muzik tempatan dengan menyatukan pendengar daripada pelbagai latar belakang.

“Terima kasih semua atas sokongan sejak dulu, saya harap dapat bertemu semua orang dalam meraikan A.C.A.B untuk kali terakhir. Peminat di Malaysia dan luar negara seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Eropah juga bakal hadir bersama-sama memeriahkan konsert terakhir ini,” katanya kepada XTRA.

Megat ditemui pada sidang media konsert 30th A.C.A.B Final Concert di Timeless Studio, Mutiara Damansara, pada Selasa.

Tambah Megat, penjualan tiket sangat memberangsangkan dan hanya berbaki 20 peratus sahaja.

“Alhamdulillah, peminat memberi respons yang baik dan tiket konsert terakhir kami tinggal 20 peratus sahaja. Saya berharap agar peminat yang datang dapat sama-sama menikmati muzik kami dan berhibur sambil mengenang kembali memori A.C.A.B selama 30 tahun,” katanya.

A.C.A.B menjanjikan ‘setlist’ merangkumi 37 lagu daripada pelbagai album seperti Eastern Oi!, Skinhead 4 Life, Orang Timur, Bangun dan This Is The A.C.A.B yang mula diterbitkan sejak 2006

Turut dimainkan adalah single ‘hit’ seperti Unite & Fight, We Are The Skins, Streets Of Uptown, Anti-Racist termasuk Demonstration ‘95 Revisited (mini album 2020).

A.C.A.B ditubuhkan pada penghujung 1994 dikenali sebagai kumpulan skinhead dan Oi! Malaysia yang terawal.

Kumpulan itu mencipta jenama, gaya dan genre tersendiri yang dikenali sebagai Eastern Oi!, manakala lagu berjudul Skinhead 4life tersebar ke seluruh dunia sehingga dimainkan beberapa kumpulan dari pelbagai negara termasuklah Eropah dan Amerika Latin.

Dapatkan tiket ‘30th A.C.A.B Final Concert’ yang bakal berlangsung 21 Disember hadapan di Zepp Kuala Lumpur menerusi laman web www.myticketempire.com

Scroll to Top