Selepas kejayaan mengungguli empat trofi di Festival Filem Malaysia ke-34 menerusi Soloz: Game of Life, syarikat produksi Key Billions Sdn Bhd kembali dengan sebuah filem bertema survival thriller berjudul Tiket Sehala.
Rahila Ali, penerbit dan pengarah filem itu, menjelaskan naskhah Tiket Sehala diilhamkan daripada kisah sebenar mangsa penipuan kerja di luar negara.
“Isu ini semakin membimbangkan dan menjadi masalah global. Tanpa disedari, ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa. Tiket Sehala merupakan karya jujur yang lahir daripada rasa tanggungjawab, dengan harapan ia memberi impak tersendiri apabila ditayangkan nanti,” katanya.
Filem ini menampilkan gabungan pelakon lama dan baru termasuk Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani dan Sharifah Sakinah. Antara pelakon lain yang turut beraksi ialah bekas atlet karate negara dan pemenang pingat emas Sukan SEA, Shaharudin Jamaludin atau Saha Champ, pelakon Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana dan Fancy Goh.

Rahila menambah, Tiket Sehala turut menampilkan pelakon popular dari luar negara, termasuk Jun Tarzan dari Korea Selatan dan Ninja dari kumpulan boyband SuperThai dari Thailand.
“Idea untuk menampilkan pelakon tempatan dan antarabangsa muncul secara spontan pada peringkat pembangunan awal projek ini. Skrip pula diolah secara berperingkat bersama dua penulis skrip, Zarina Omar dan Amirul Haswendy Ashari, dengan kerjasama rapat penerbit eksekutif, Eddie Yap. Ini bagi memastikan setiap babak mempunyai struktur naratif kukuh, perkembangan watak jelas serta keseimbangan antara aksi, emosi dan visual yang ingin diketengahkan,” jelasnya.
Bagi memastikan Tiket Sehala memberi impak maksimum, setiap pelakon menjalani latihan lakonan dan aksi selama hampir dua bulan.
“Mereka memberikan komitmen tinggi untuk memastikan lakonan dan watak yang dibawa mencapai kualiti terbaik dan memberi impak. Latihan lakonan dikendalikan oleh dua guru lakonan, manakala latihan aksi dijalankan oleh pengarah aksi berpengalaman, Coach Yin Yuraki dari Tactical Stunt Production yang terkenal dengan koreografi aksi hebat di Malaysia dan Hong Kong,” tambah Rahila.
Penggambaran filem ini dijalankan sepanjang November hingga Disember di Malaysia dan Korea Selatan. Tayangan Tiket Sehala dijangka berlangsung pada pertengahan tahun 2026.




