Kuala Lumpur: Seorang lelaki meninggal dunia ketika bermain badminton di Seremban, Negeri Sembilan, malam tadi.
Menurut laporan China Press, menerusi rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan, Lee Kah Chin, 35, tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri.
Dalam rakaman itu, Lee rebah selepas menerima satu pukulan semasa perlawanan.
Rakan mendiang segera bergegas ke arahnya dan melakukan bantuan kecemasan menggunakan alat defibrilator automatik (AED).
Lee kemudiannya dikejarkan ke hospital, namun doktor mengesahkan beliau sudah meninggal dunia.
Mendiang meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil dan dijangka bersalin tidak lama lagi, serta dua orang anak yang berusia tiga dan satu tahun.
Kejadian menyayat hati itu mengundang rasa sedih dan kebimbangan orang ramai terhadap nasib balu mendiang yang kini berduka.
Seorang kenalan rapat mendedahkan bahawa Lee bekerja sebagai jurujual dan dikenali sebagai seorang suami serta bapa yang penyayang dan bertanggungjawab.
Pasangan itu baru membeli rumah baharu dan tidak sabar untuk berpindah serta memulakan kehidupan bersama tiga anak mereka tidak lama lagi.
“Dia aktif bersukan sejak bertahun-tahun dan sihat. Sebelum bermain pun dia tidak mengadu sebarang rasa sakit.
“Dia cuma memulangkan satu pukulan dan tiba-tiba rebah,” kata rakannya.
Selepas bedah siasat dijalankan, jasad mendiang Lee diserahkan kepada ahli keluarga untuk upacara pengebumian yang dijadual diadakan esok di Tokong Chen Kong Toh Tong, Seremban.
© New Straits Times Press (M) Bhd



