Penyanyi yang juga anggota kumpulan Exist, Ezad Lazim bersyukur sekali gus memohon doa orang ramai apabila dia dan isteri bakal menunaikan ibadah haji pada 30 April ini.
Kata Ezad, dia dan isteri, Zeana Ramli menerima seruan untuk melaksanakan ibadah tersebut pada tahun ini.
Jelasnya, dia banyak bertanya mengenai perihal menunaikan ibadah haji dengan rakan seperjuangannya, Along Exists dan Shah Slam, selain mendedahkan bakal merakamkan lagu terbaharu kumpulan itu selepas pulang ke tanah air.
” Saya bakal menunaikan ibadah haji selama 45 hari dan berangkat ke tanah suci pada 30 April ini. Doakan segalanya dipermudahkan.
“Saya ada sedikit kerisauan sebab tidak pernah pergi ke sana.
“Saya banyak bertanya pada Along dan Shah yang sudah berpengalaman. Balik dari sana nanti, kami akan terus fokus pada konsert dan rakaman lagu,” katanya.
Ezad berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Exists Memento Mori, baru-baru ini.

Meskipun mengakui berat hati untuk meninggalkan dua anaknya, pelantun lagu Luahan Cintaku ini menjelaskan, keluarga terdekat akan menjaga dan menjenguk anak-anaknya iaitu, Puteri Rania Keisha, 13, dan Putra Muhammad Darwish, 11.
“Insya-Allah, keluarga terdekat akan jagakan anak-anak jika mereka ada kesempatan. Sebelum ini saya ada pembantu rumah tetapi dia tidak pulang semula selepas balik ke Indonesia.
“Namun, saya sudah mendapat pembantu rumah yang baru. Harap-harap pembantu itu okey kerana dia akan banyak menghabiskan masa dengan anak-anak. Saya akan pantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di rumah.
“Ibu mentua saya juga ada menyatakan hasrat untuk menjenguk anak-anak, namun saya tidak mahu membebankannya kerana beliau baru saja menjalani pembedahan akibat kanser.
“Saya bersyukur kerana kedua-dua anak saya boleh dikatakan sudah pandai menguruskan diri untuk ke sekolah. Apa pun saya tawakal sahaja dan berharap Allah peliharalah mereka sepanjang kami berada di Tanah Suci,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ezad bersama enam anggota kumpulan Exists lain bakal menjayakan konsert Exists Momento Mori di Unifi Arena Bukit Jalil, 1 Ogos ini.




