SENDU dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka membawa erti sedih dan pilu. Perkataan yang acap kali dilabel kepada golongan selebriti atau anak seni yang jika dikira dari sudut populariti, kurang menjadi.
Walaupun pedih dan terluka jika mendengarnya, namun harus diakui memang ada segelintir artis yang dilihat sendu di mata peminat. Jika tidak, masakan wujud gelaran tersebut. Pasti bersebab.
Alang-alang bercakap soal kesenduan, baru-baru ini Poklip ada terbaca satu ciapan di aplikasi Threads oleh individu yang Poklip kira peminat industri seni tempatan. Ciapan yang menyentak, rupanya ada yang kisah.
Bunyi soalannya seperti ini; Siapa dalam kalangan artis yang tidak tular, mungkin sendu tetapi sebenarnya jauh lebih berbakat daripada mereka yang sentiasa ada di papan cerita sensasi dunia hiburan.
Ciapan tersebut mendapat perhatian ramai dan masing-masing mula menyebut beberapa nama yang membuatkan Poklip sedar, kita sebenarnya mempunyai bakat hebat yang sangat ramai namun tidak peluang.
Asmidar, antara nama yang diulang sebut oleh pengguna media sosial. Benar, suara juara program realiti, Bukan Sekadar Rupa 2011 ini diperaÂkui merdu dan hebat. Berilah lagu apa, pasti sedap lontarannya.
Namun selepas 14 tahun, hanya lagu Biar Sampai Ke Bintang yang meniti di bibir peminatnya. Cubaan demi cubaan namun dilihat gagal, jika kita ambil kira dari sudut penerimaan umum dalam arena muzik.
Tetapi di mana silapnya? Jika rupa adalah alasan, Poklip tidak nampak ‘kehodohan’ pun. Asmidar ada manis dan kecantikan tersendiri. Dia juga tidak kalah dalam berbusana dan tatarias.
Begitu juga dengan Mafarikha. Banyak kali video nyanyiannya mendapat perhatian, dipuji melambung-lambung tetapi sekadar di situ sahaja. Keluar lagu baharu, juga tidak terlalu menjadi.
Adakah sekali lagi rupa paras, saiz badan jadi alasan? Jika benar, maka dangkallah segelintir peminat industri hiburan tanah air. Bukan tidak pernah mencuba, Poklip kira banyak kali juga mereka ‘melawan’ arus.
Haziq Rosebi, Nadia Aqilah, Najwa Nasir, Amylea Azizan, Bob Mesra dan ramai lagi seolah-olah tidak mendapat perhatian sewajarnya. Tetap dalam zon yang sama, walaupun bakat diperakui.
Tidak hanya dalam dunia nyanyian, industri lakonan juga sama beratnya. Ameerul Affendi, Hanna Aqeela, Nazeera Saidi, Shiqin Kamal dan Ezzanie Jasny juga mungkin dilihat dalam zon sama.
Punya bakat yang Poklip rasa dipuji peminat tetapi kurang mendapat tawaran. Entah mengapa. Mungkin tidak cukup dangkal untuk cetus kontroversi atau ada alasan lain membuatkan karier mereka di situ sahaja?
Benar, ada dalam kalangan nama penyanyi yang disebut tawaran persembahan sentiasa ada. Biarpun mungkin tidak dilihat di layar kaca, namun tetap ‘hidup’ dengan persembahan di merata tempat.
Ada antara mereka menjadi wajah wajib masuk istana dan jemputan korporat. Mungkin wang bukan masalah tetapi perhatian, populariti dan sambutan terhadap karya-karya mereka. Nak buat bukan murah.
Ada yang berhabis puluhan ribu malah mungkin juga cecah ratusan ribu hanya untuk membuktikan semangat dan kehadiran mereka dalam industri seni bukan sekadar tempelan. Namun tetap juga ‘gagal’.
Poklip percaya, ini juga soal rezeki dan ketentuan Tuhan. Mungkin pancaran glamor itu tidak ditempiaskan, namun ada rezeki lain. Ada juga yang punya bakat, namun tidak ada X-factor atau aura tersendiri.
Kadang kala, kita sendiri perlu cetuskan aura itu. Lihat Aina Abdul, Ernie Zakri dan Nadeera. Satu ketika dahulu, mereka (mungkin) pernah dilabel sendu tetapi kini berjaya dengan identiti sendiri.
Begitu juga dengan Elly Mazlein, Niezam Zaidi dan ramai lagi. Masing-masing pernah sendu dan menyepi dari dunia seni. Namun rezeki dan populariti itu datang juga akhirnya.
Soal rezeki, populariti itu di luar bidang kuasa kita sebagai manusia. Cuma buat mereka yang mungkin dilabel sendu, kuatkan semangat. Percaturan Tuhan itu indah. Tidak lambat sesaat, tidak juga cepat sesaat.
Buat peminat industri seni tanah air, hargailah mereka yang punya bakat. Berilah perhatian kepada mereka yang benar-benar memperjuangkan bakat dan bukan sekadar jual cerita panas. Penat lihat ‘kebodohan’ itu.