mohamadridzuan@hmetro.com.my
KEKAL bertahan. Begitulah yang boleh diperkatakan berkenaan pelakon Roy Azman yang masih diminati sehingga hari ini.
Transformasi Roy atau nama sebenarnya Zairosminan Abdul Rahman, 55, dalam kariernya sangat ketara.
Membina nama dengan karakter antagonis menerusi filem Pemburu Bayang, Sembilu, Maria Mariana dan banyak lagi, Roy kini mempelbagaikan kebolehan sebagai pelawak, hos dan penyampai radio pula.
“Syukur… rezeki saya masih ada dalam industri. Kelibat saya dapat disaksikan menerusi program Travelawak Projek Bapak-Bapak musim keempat.
“Ia membabitkan Hong Kong menampilkan Mustapha Kamal, diikuti Slovenia (Datuk Rashid Sidek) dan akan datang, Romania dengan seorang lagi artis lain.
“Setiap negara akan tampilkan tetamu berbeza. Untuk setiap lokasi, kami akan berada selama lima hingga enam hari sebelum ke lokasi berikutnya,” katanya. Menurutnya, dia selesa bergandingan dengan Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk Ramli MS (Tok Ram) sebagai hos program ini.
“Abang Jatt ada masalah kesihatan sebelum ini, jadi terpaksa direhatkan sementara waktu. Insya-Allah kalau ada sambung musim kelima kita tak tahulah. Itu semua adalah perancangan Astro.
“Kalau ditanya berkenaan keseronokan, memang ‘best’ sebab kami dapat jalan-jalan pusing dunia percuma, kemudian dapat gaji lagi.
“Saya pun tak sangka selepas buat musim pertama ia akan bersambung. Apapun ia bergantung kepada penaja juga untuk menaja musim berikutnya,” katanya.
Menerusi program santai dan komedi ini, Roy dilihat sering berjenaka dengan dua gandingannya tanpa sebarang rasa kekok.
“Gandingan kami serasi. Tak dinafikan waktu awal masa belum mengenali Tok Ram saya agak berhati-hati bergurau. Yang saya kenal cuma Tok Jalal saja.
“Malah abang Jatt pun saya tak pernah bercakap sebelum ini. Saya pula jenis orangnya bukanlah kurang ajar, saya cakap lepas dan mereka boleh terima. Boleh rancang bersama-samalah selepas itu.
“Tak ada apa-apa isu. Cuma Tok Ram degil sikit, tapi saya lawan. Kerja dia nak menipu saja dalam itu sehingga kami bertekak, tapi tidaklah makan dalam,” katanya ketawa.
Roy berkata, sesekali mereka akan berjumpa di luar dan mereka juga mempunyai grup WhatsApp untuk bertanya khabar sesama sendiri.
Roy yang berkahwin dengan bekas anggota kumpulan Princess, Rafidah Razali dan memiliki lima anak, pernah dikejarkan ke hospital akibat pengsan tiba-tiba pada Mei 2019.
Dia yang mulanya disyaki mempunyai masalah jantung, lega apabila disahkan hanya mempunyai gastrik dan bebas sakit jantung dan kencing manis.
“Alhamdulillah… setakat ini kesihatan saya okay. Cuma saya sedikit susut yang mana saya pun risau juga. Saya pun tak tahu sebab dah lama tak buat pemeriksaan kesihatan.
“Saya mengamalkan tawakal. Risau tengok kawan-kawan sakit ada juga, tapi macam saya cakap tadi, berserah kepada Allah sahaja. Kalau periksa pun, doktor bagi ubat pun saya tak makan.
“Itulah maksudnya. Saya akui susah dan degil makan ubat. Memang ubat doktor saya kurang sikit. Saya ada juga ambil suplemen untuk jaga kesihatan. Saya pun cuba banyakkan minum air kosong,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



