Baki beban kewangan bersih ditanggung kerajaan berkaitan 1MDB dianggar RM20.1 bilion – MoF

Baki beban kewangan bersih ditanggung kerajaan berkaitan 1MDB dianggar RM20.1 bilion – MoF

KUALA LUMPUR – Baki beban kewangan bersih yang ditanggung kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion setelah ditolak pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, dengan andaian tiada pemulihan dana dan aset tambahan pada masa hadapan.Menurut Kementerian Kewangan (MoF), dengan mengambil kira bayaran yang telah dibuat dan baki komitmen yang masih perlu dijelaskan, jumlah keseluruhan obligasi kewangan kerajaan berkaitan 1MDB adalah sebanyak RM51.4 bilion.”Sejak kerajaan mula mengambil alih tanggungan hutang dan komitmen kewangan berkaitan 1MDB pada April 2017, kerajaan telah menjelaskan bayaran berjumlah RM42.5 bilion.”Bayaran itu merangkumi bayaran prinsipal sebanyak RM27.7 bilion serta faedah dan komitmen lain sebanyak RM14.8 bilion,” menurut MoF menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.MoF menyatakan demikian bagi menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai mekanisme baharu bagi memastikan kes seumpama 1MDB tidak lagi membolehkan liabiliti sedemikian dipindahkan kepada pembayar cukai serta jaminan supaya proses tuntutan tidak terjejas kerana perkembangan hukuman jenayah pelaku.Menurut MoF, selain itu baki komitmen sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang dijamin kerajaan adalah sebanyak RM8.9 bilion, yang terdiri daripada prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga tempoh matang pada 2039.Kementerian juga memaklumkan kerajaan kekal komited untuk meneruskan tuntutan dan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.”Sebarang perkembangan berhubung hukuman jenayah atau pengampunan seseorang individu tidak dengan sendirinya menamatkan tuntutan sivil bagi mendapatkan semula dana yang diseleweng.”Tuntutan sivil mempunyai asas tindakan dan proses pembuktian yang berbeza daripada prosiding jenayah,” menurutnya.Menurut MoF, sehubungan itu, kesan sesuatu keputusan berhubung hukuman atau pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu diteliti berdasarkan skop keputusan tersebut serta undang-undang yang terpakai.”Hak kerajaan dan 1MDB untuk meneruskan tuntutan sivil hendaklah dinilai berdasarkan asas tuntutan, bukti dan perintah mahkamah dalam prosiding berkenaan manakala apa-apa tindakan pelucuthakan aset tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat yang mengawal tindakan tersebut.”Pendirian kerajaan adalah tegas, dengan usaha mendapatkan semula dana negara akan diteruskan melalui saluran undang-undang yang tersedia, dengan menghormati bidang kuasa mahkamah dan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya.Menurut MoF keutamaan kerajaan ialah memaksimumkan pemulihan dana bagi melunaskan obligasi 1MDB, mengurangkan beban kewangan negara dan memelihara kepentingan rakyat. – Bernama

Scroll to Top