mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bala yang menimpa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya masih belum berakhir apabila badan induk itu kini terpaksa menunggu satu lagi ‘hukuman’ yang mungkin dikenakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Situasi itu muncul selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan negara yang sebelum ini didapati memalsukan dokumen kelayakan.
Susulan keputusan itu, kes berkenaan kini diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC untuk penelitian lanjut sebelum sebarang tindakan diambil.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, jawatankuasa berkenaan dijangka memerlukan kira kira seminggu sebelum keputusan muktamad dapat diumumkan.
Menurutnya, beberapa bentuk hukuman boleh dikenakan mengikut peraturan sedia ada, namun semuanya masih tertakluk kepada pertimbangan panel disiplin AFC.
“AFC akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC untuk tindakan dan penelitian selanjutnya yang kemungkinan mengambil masa dalam tempoh seminggu untuk mengetahui keputusannya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Windsor menjelaskan jawatankuasa terbabit akan meneliti secara terperinci setiap aspek berkaitan kes berkenaan sebelum membuat keputusan rasmi.
Katanya, antara hukuman yang berpotensi dikenakan adalah pemotongan mata terhadap skuad kebangsaan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.
“Jika mengikut kepada peraturannya antara hukuman yang mungkin dikenakan kepada FAM dan skuad Harimau Malaya adalah pemotongan mata dan beberapa hukuman lain.
“Namun semuanya saya tidak boleh kata lagi kerana ia akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC,” katanya.
Mengikut rekod, Malaysia menggunakan khidmat tujuh pemain berkenaan ketika menentang Nepal dan Vietnam dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027.
Dua perlawanan itu menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski meraih kemenangan penting yang ketika ini menjadi antara bekalan utama dalam kempen kelayakan.
Namun sekiranya AFC memutuskan keputusan itu dibatalkan, Harimau Malaya berdepan risiko kehilangan enam mata sekali gus memberi tamparan besar kepada impian negara untuk layak ke pentas Piala Asia 2027.
© New Straits Times Press (M) Bhd




