anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sorok gading gajah bernilai ratusan ribu ringgit di dalam almari.
Itu tindakan dua lelaki yang ditahan anggota Unit Wildlife Crime Bureau (WCB) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan anggota Polis Diraja Malaysia hasil serbuan di sebuah rumah di Bandar Botanic, Klang, Selangor.
Serbuan dijalankan jam 8.30 pagi kelmarin adalah hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan risikan dilakukan.
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dua individu masing-masing berusia 37 dan 38 tahun ditahan ketika pemeriksaan dilakukan.
“Pemeriksaan dilakukan di kediaman itu menemui satu gading gajah disembunyikan di dalam almari pakaian.
“Satu lagi potongan gading gajah diletakkan di atas meja pemujaan agama bukan Islam,” katanya.
Menurutnya, dua gading gajah terbabit bernilai lebih RM150,000 kemudian dirampas untuk tindakan lanjut.
“Kes itu kini disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] kerana memiliki atau menyimpan bahagian anggota haiwan yang dilindungi sepenuhnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd