BAM lantik Lim Kenn ketua pembangunan saluran bakat

BAM lantik Lim Kenn ketua pembangunan saluran bakat

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik bekas pemain remaja kebangsaan, Lim Kenn sebagai ketua pembangunan saluran bakat berkuat kuasa 1 Mac 2026 bagi memperkukuh penyelarasan antara Persatuan Badminton Negeri dan BAM.

Pelantikan bertujuan memastikan pembangunan di peringkat negeri selari dengan piawaian serta hala tuju prestasi BAM, di samping merapatkan jurang kualiti dan kemahiran antara pemain negeri dan skuad kebangsaan bagi memudahkan peralihan ke tahap elit.

Dalam peranan baharunya, Lim akan memantau pembangunan di Persatuan Badminton Negeri serta menyelia keseluruhan struktur laluan bakat BAM bagi memastikan program negeri bergerak seiring dengan rangka kerja latihan kebangsaan.

Tanggungjawab beliau termasuk memperkukuh struktur latihan, metodologi kejurulatihan, pemantauan kecergasan serta pelaksanaan pendekatan sains sukan yang lebih sistematik.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Lee Chong Wei percaya langkah penyelarasan itu penting bagi memastikan setiap negeri bergerak seiring dengan hala tuju teknikal dan prestasi yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.

“Bagi saya, persatuan badminton negeri memainkan peranan sangat penting dalam melahirkan pemain yang akan diserap ke skuad kebangsaan setiap tahun. Oleh itu, kekuatan di peringkat akar umbi adalah asas kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top