
Khairul Azizi Amat (kiri) dan Pengarah Urusan SMR Creations, Sharulmizan Rahmat menunjukkan Kad NFC Buluh yang dilancarkan pada Selasa.
BAMBOO Inovasia, jenama di bawah SMR Creations Sdn Bhd melancarkan Kad NFC Buluh iaitu kad pintar mesra alam diperbuat daripada buluh semula jadi dan dilengkapi teknologi Near Field Communication (NFC) bagi menggantikan kad perniagaan tradisional.
Ketua Pegawai Eksekutif Projek, SMR Creations Sdn Bhd, Khairul Azizi Amat Tokimin berkata, Kad NFC Buluh itu membolehkan perkongsian maklumat profesional hanya dengan satu sentuhan pada telefon pintar tanpa perlu mencetak atau mengedarkan kad kertas sekali guna.
“Kad ini boleh dikemas kini secara digital tanpa cetakan semula, menjimatkan kos jangka panjang, tahan lama dan memberi imej profesional moden.
“Antara ciri utamanya ialah diperbuat daripada buluh semula jadi, mempunyai keupayaan perkongsian maklumat segera melalui teknologi NFC dan setiap pembelian menyumbang kepada program penanaman buluh sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelancaran Kad NFC Buluh ini diadakan sempena penyertaan syarikat dalam Asia Sustainable Urban Forum (ASUF) 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre dari 12 hingga 14 Ogos 2025.
Menurutnya, Kad NFC Buluh keluaran Bamboo Inovasia adalah solusi masa depan bagi rangkaian profesional.
“Dengan teknologi NFC, kami memodenkan cara berkongsi maklumat sambil membantu mengurangkan kesan alam sekitar akibat penggunaan kad kertas sekali guna,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang tiga hari penyertaan di ASUF 2025, produk ini telah menarik minat lebih 1,000 pengunjung untuk mendapatkan Kad NFC Buluh Bamboo Inovasia.
“Kami melihat keadaan ini membuktikan potensi besar produk ini di pasaran serantau.
“Kad NFC Buluh disasarkan kepada golongan profesional, usahawan, syarikat korporat, agensi kerajaan,badan bukan kerajaan dan institusi pendidikan,” katanya.