Bandar Seri Impian 2 bakal diperkenalkan tahun depan

Bandar Seri Impian 2 bakal diperkenalkan tahun depan

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemaju hartanah, Matrix Concepts bakal memperkenalkan projek pembangunan baharu, Bandar Seri Impian 2, Kluang, Johor pada suku pertama tahun depan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.56 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Pembangunan Hartanah Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, bandar berkeluasan 125.25 hektar itu bakal menampilkan 3,054 unit kediaman yang dibangunkan secara teliti di enam kawasan.

Katanya, pembangunan Fasa 2 di Bandar Seri Impian itu menjadikan keluasan keseluruhan kawasan bandar itu mencecah 490 hektar dengan GDV berjumlah RM3.56 bilion.

“Kami memperkukuhkan bandar ini dengan beberapa pelancaran kediaman dan komersial yang dijadualkan pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Projek kami yang akan datang menawarkan pelbagai pilihan yang memenuhi keperluan pembeli tempatan iaitu hartanah kediaman termasuk rumah teres setingkat, rumah teres dua tingkat, Semi-D dan banglo selain lot kedai komersial yang direka bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan ini.

“Kadar pengambilan yang kukuh sebelum pelancaran turut mengukuhkan keyakinan kami untuk mencapai sasaran jualan bagi tahun berakhir 2026,” katanya pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama X Park, di Kluang, Johor hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi serta Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Chew Chong Sin, wakil kerajaan Johor, pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah Matrix Concepts, Motormarin (X Park) dan Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor (KOPKETA).

Kerjasama berkenaan membabitkan pembangunan pusat sukan ekstrem dan aktiviti lasak pertama di Kluang, Johor dengan nilai pelaburan sebanyak RM10 juta.

Ia kerjasama kedua antara X Park dan Matrix Concepts, selepas pelancaran X Park di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Mengulas mengenai MoU terbabit, Chai berkata, kerjasama ini selaras dengan visi mereka untuk mewujudkan persekitaran yang holistik dan dinamik di Bandar Seri Impian.

“Ini turut meningkatkan daya tarikan bandar ini dan menawarkan pengalaman rekreasi baru kepada penduduk sekitarnya.

“Dengan pelaburan berjumlah RM10 juta bagi pembinaan ini, Matrix Concepts terus komited untuk memkerkasakan komuniti dengan kawasan rekreasi yang meriah dan memberi tarikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan X Park Malaysia, Rocky Siow berkata, pihaknya menyambut bajk usahasama itu dalam membawa keseronokan sukan ekstrem X Park ke Bandar Seri Impian.

“Direka untuk menawarkan pengalaman yang tiada tandingannya dalam sukan ekstrem dan rekreasi luar, X Park bakal menyediakan ruang dinamik di mana keluarga dan pencinta cabaran lasak boleh berkumpul untuk mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.

“Kerjasama ini juga sejajar dengan visi Bandar Seri Impian untuk memupuk komuniti berorientasikan keluarga.

“Selain menawarkan hiburan yang mengujakan, X Park turut menawarkan penduduk dan pengunjung dengan pelbagai aktiviti yang mempromosikan gaya hidup aktif dan sosial,” katanya.

X Park Bandar Seri Impian bakal menawarkan pelbagai sukan ekstrem dan aktiviti rekreasi termasuk litar go-kart, lapangan sasar golf, gelanggang badminton dan Pickleball, Rock Climbing, ruang memanah dan kafetaria.

Pembangunannya seiring dengan trajektori pertumbuhan serta menawarkan manfaat rekreasi dan ekonomi kepada kawasan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top