JAKARTA – Agensi Pemakanan Nasional Indonesia (BGN) mengumumkan rancangan untuk menubuhkan dapur makanan percuma di penjara seluruh negara dengan melibatkan banduan dalam pengendalian kemudahan tersebut.
Ketua BGN, Dadan Hindayana berkata, mereka akan memastikan kesemua piawaian keselamatan makanan dan protokol operasi dipatuhi sepenuhnya di dapur makanan percuma yang dikendalikan di penjara.
Menurutnya, Penjara Sukamiskin di Bandung, Jawa Barat menjadi perintis insiatif tersebut sejak program Makanan Bergizi Gratis (MBG) dilancarkan pada Januari 2025.
Seramai 47 banduan terlibat dalam program tersebut menyediakan makanan kepada lebih 3,450 penerima setiap hari termasuk 12 sekolah rendah dan kanak-kanak di pusat kesihatan komuniti.
“Program di Sukamiskin menunjukkan hasil positif khususnya terhadap banduan yang bekerja di dapur kerana ia memberi mereka rasa tanggungjawab dan peluang untuk memberi sumbangan kepada masyarakat,” ujarnya.
Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan memaklumkan kira-kira 70 dapur di penjara dan pusat tahanan di seluruh negara sedang dibangunkan.
Sebanyak 36 daripadanya dijangka mula beroperasi menjelang akhir bulan ini.
“Projek pembinaan kini sudah mencapai tahap kira-kira 90 peratus,” menurut Ketua Pengarah Pemasyarakatan di kementerian itu, Mashudi.
Tambahnya, dapur tersebut akan dibina di dalam kompleks penjara dan tanah bersebelahan yang mana setiap kemudahan meliputi keluasan kira-kira 350 hingga 400 meter persegi.

Penjara Sukamiskin di Bandung, Jawa Barat menjadi perintis insiatif tersebut sejak program Makanan Bergizi Gratis (MBG) dilancarkan pada Januari 2025.
Proses saringan ketat
Walaupun tanah itu kekal milik kerajaan, BGN tetap perlu membayar sewa kepada Direktorat Jeneral Pemasyarakatan sama seperti pengendali dapur makanan percuma swasta. Bayaran itu akan direkodkan sebagai hasil bukan cukai negara.
Pada peringkat awal, kira-kira 119 daripada 627 penjara dan pusat tahanan di seluruh Indonesia dicadangkan untuk dijadikan lokasi dapur makanan percuma.
Bagaimanapun, hanya 70 lokasi diluluskan setakat ini dengan 36 daripadanya kini dalam fasa pembinaan aktif.
Dapur itu akan diuruskan yayasan pihak ketiga dan dijangka menggaji banduan dalam pelbagai tugas operasi.
Mashudi memberitahu setiap kemudahan akan menggaji kira-kira 46 hingga 48 pekerja termasuk kira-kira 20 banduan yang akan menerima bayaran insentif, namun jumlahnya tidak didedahkan.
Ketika ini, banduan yang menyertai program pemerkasaan menerima upah sebanyak 700,000 rupiah (RM157) sebulan bagi upah kerja seperti dobi, kimpalan, bakeri, pertanian dan penternakan.
Difahamkan, kira-kira 20 peratus daripada kira-kira 250,000 banduan di seluruh negara terlibat dalam program sedemikian.
Selain menyediakan tenaga kerja dan kemudahan, penjara juga akan menyumbang sebahagian bahan mentah untuk dapur tersebut.
Kebanyakan pusat pemulihan kini menjalankan aktiviti pertanian termasuk penternakan ayam dan penanaman sayur-sayuran serta padi.
Mashudi menegaskan banduan yang dipilih bekerja di dapur makanan percuma tidak dipilih secara rawak. Setiap calon menjalani proses saringan ketat termasuk pemeriksaan kesihatan.
Selain itu, banduan yang terlibat akan menerima latihan berkaitan standard kebersihan, keselamatan, prosedur penyediaan dan penyajian makanan yang betul.
Setakat ini, seramai 745 banduan telah menjalani latihan di bawah program tersebut.
Pakar dasar awam dari University of Indonesia, Eko Prasojo berkata, idea mengendalikan dapur makanan percuma di penjara boleh dilaksanakan selagi piawaian keselamatan makanan dipatuhi dengan ketat.
Namun, beliau menegaskan beberapa langkah keselamatan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko termasuk banduan lolos dari penjara.
Pakar pemakanan dan doktor berpusat di Jakarta, Tan Shot Yen bagaimanapun mempersoalkan keperluan melibatkan pusat tahanan dan banduan dalam penyediaan makanan untuk pelajar sekolah.
“Saya cuma keliru mengapa perlu babitkan penjara. Bagaimana penggunaan pisau dalam kalangan banduan dapat dikawal dengan baik?” katanya. – Agensi
INFO
– Program Makanan Bergizi Gratis (MBG) merupakan antara inisiatif utama di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto bagi menangani masalah pertumbuhan terbantut dalam kalangan kanak-kanak di Indonesia.
– Setakat April, program itu menyediakan makanan kepada hampir 62 juta pelajar, kanak-kanak dan ibu hamil pada setiap hari. Pemerintah menyasarkan 82.9 juta penerima menjelang akhir 2026.
– Ketika ini, sebanyak 27,854 dapur pihak ketiga beroperasi di seluruh negara manakala BGN merancang meningkatkan jumlah itu kepada 33,000 dapur menjelang akhir tahun ini.
– Menurut Rangkaian untuk Pemerhati Pendidikan Indonesia, lebih 33,600 pelajar dilaporkan mengalami keracunan makanan sejak program itu dilancarkan pada tahun lalu.
– Lebih 1,720 dapur makanan percuma di seluruh negara telah digantung operasi oleh BGN kerana didakwa gagal mematuhi piawaian serta protokol keselamatan makanan yang ditetapkan.



