Banduan mengaku laku 17 kesalahan seksual dipenjara 22 tahun, 9 sebat

Banduan mengaku laku 17 kesalahan seksual dipenjara 22 tahun, 9 sebat

am@hmetro.com.my

Melaka: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan sembilan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas 17 pertuduhan merogol, meliwat, melakukan seks menggunakan objek dan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah memutuskan demikian selepas lelaki berusia 31 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah hari ini dan mensabitkannya seperti pertuduhan selain menimbangkan rayuannya, fakta kes dan hujah pendakwaan bagi pemberatan hukuman.

Tertuduh didakwa masing-masing atas empat pertuduhan merogol, melakukan seks dengan menggunakan objek dan meliwat kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ketika kejadian serta lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa sama.

Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tanah Merah, Krubong pada tarikh dan masa berbeza iaitu akhir November 2022, pertengahan Januari 2023, 11 dan 23 Februari 2023 dan 13 Julai 2023, antara jam 11 malam hingga 2 pagi.

Bagi pertuduhan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, Rohatul Akmar menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Untuk empat pertuduhan merogol, iaitu tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan (KK) tertuduh dikenakan penjara 22 tahun dan satu sebatan setiap pertuduhan dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 376(2)(d) KK, penjara 22 tahun dan dua sebatan.

Seterusnya, bagi empat kes Seksyen 377C KK, tertuduh dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun penjara dan satu sebatan setiap pertuduhan manakala kesalahan seks menggunakan objek, penjara tujuh tahun.

Rohatul bagaimanapun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman pemenjaraan bermula dari tarikh ditangkap pada 18 Ogos 2023, sekali gus tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 22 tahun dan sembilan sebatan.

Beliau turut menetapkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan selepas tamat hukuman mengikut peruntukan Seksyen 26(1), Kanun Tatacara Jenayah dan diletakkan di bawah pengawasan polis tiga tahun mengikut Seksyen 27(1) kanun sama, berkaitan pesalah seksual terhadap kanak-kanak.

Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku akhir November 2022 kira-kira jam 1.30 pagi apabila tertuduh memasuki bilik tidur mangsa lalu menekup mulutnya dengan tuala selain mencabul kanak-kanak itu yang cuba melarikan diri sebelum merogolnya.

Kejadian itu berlaku beberapa kali dan kali terakhir pada 13 Julai 2023 kira-kira 1 pagi, namun mangsa tidak menceritakannya kepada sesiapa termasuk nenek dan adiknya yang tinggal bersama kerana takut.

Mangsa akhirnya dengan dibantu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Melaka Tengah nekad membuat laporan polis selepas adiknya berusia 11 tahun lima bulan juga menjadi mangsa kepada tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berbentuk pengajaran atas keseriusan 17 kesalahan seksual dilakukan terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun termasuk seks di luar tabii, namun tertuduh yang bekerja memasang kanopi dan katering merayu hukuman ringan kerana sudah insaf.

Pada 7 Julai lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bermula dari tarikh tangkap, 11 Ogos 2023 dan enam sebatan terhadap tertuduh atas empat kesalahan merogol dan satu amang seksual terhadap adik mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top