SHAH ALAM – “Bang, saya nak cakap segan tapi kena juga untuk anak-anak, boleh pinjam RM6 tak bang? Untuk belanja anak sekolah esok, saya cari ‘job cash’ dari petang tadi tak dapat-dapat.”
Demikian permintaan seorang bapa yang kehabisan wang untuk perbelanjaan sekolah anak, seperti dikongsikan penghantar makanan, Mohd Zaenuddin Jupri, 33, menerusi akaun TikTok miliknya.
Menurut Mohd Zaenuddin, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang selepas selesai bekerja kira-kira jam 1 pagi sebelum terserempak dengan lelaki berkenaan yang sedang menolak motosikal di tepi jalan.
Katanya, selepas berhenti untuk bertanya, dia dimaklumkan bahawa motosikal lelaki tersebut telah kehabisan minyak.
“Saya tak cakap banyak, terus tunda motosikal dia sampai ke stesen minyak. Tabiat saya bila dah tunda motosikal habis minyak, sampai sahaja stesen minyak saya akan tanya ‘ada duit tak nak isi minyak?’.
“Dia diam, bila dia diam saya dah faham sangat. Saya terus hulur RM5 suruh isi minyak,” katanya.
Ujarnya, lelaki berkenaan pada mulanya enggan menerima wang yang diberi, namun bersetuju selepas dipujuk Mohd Zaenuddin yang bimbang akan keselamatan jika terus menolak motosikal.
Selepas selesai mengisi minyak, Mohd Zaenuddin menyedari lelaki itu seakan-akan mahu menyampaikan sesuatu sebelum memberanikan diri menyatakan niat sebenarnya untuk meminjam wang bagi menampung perbelanjaan anaknya.
“Masa dia cakap tu, air mata dia dah bertakung, bila dengar dia cakap macam itu saya rasa sebak sangat.
“Saya tak cakap banyak, turun motosikal dan tepuk belakang bahu dia, saya cuma cakap ‘sabar bang ya, kau kuat’. Waktu itu terus jatuh air mata jantan dia,” luahnya.
Terkesan dengan keperitan lelaki itu, Mohd Zaenuddin kemudian menyerahkan kesemua wang tip yang diterima daripada pelanggan pada hari berkenaan untuk membantu meringankan bebannya.
Jelasnya lagi, walaupun pada awalnya hanya mahu meminjam RM6, lelaki berkenaan akhirnya menerima wang tersebut selepas dipujuk.
“Saya beritahu dia, ‘ambil bang, ALLAH dah tetapkan ini rezeki kau, saya cuma tukang bawa sahaja. Jangan tolak rezeki, tak baik’.
“Waktu itu pipinya dah basah dengan air mata dan mulut tak putus-putus ucap terima kasih,” katanya.



