Banggakan Malaysia! Azira Shafinaz, Fabian Loo Rangkul Trofi Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-61

Banggakan Malaysia! Azira Shafinaz, Fabian Loo Rangkul Trofi Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-61

Pelakon berbakat, Azira Shafinaz dan Fabian Loo mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul trofi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Asia Pasifik Ke-61 (FFAP 61) yang berlangsung di Genting Highland, malam tadi.

Fabian meraih trofi menerusi lakonannya dam filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza manakala Azira pula mengungguli kategori itu menerusi wataknya dalam filem Indera arahan Woo Ming Jin.

Ketika berucap menerima trofi kemenangan, anggota kumpulan De Fam ini menganggap kemenangan itu sebagai kejutan besar buat dirinya.

“Saya tak sangka. Pertama sekali, saya tidak tahu nama saya tercalon dalam kategori ini. Jadi, ini seperti kejutan besar. Saya hadir untuk memberi sokongan terhadap filem Indera yang dipilih sebagai filem pembukaan untuk festival ini.

“Terima kasih kepada FFAP 61 atas penghargaan yang besar ini. Saya sangat berbesar hati dan merendah diri menerima anugerah ini,” katanya.

Sementara itu, Fabian tidak dapat hadir ke malam anugerah kerana dia sedang menjalani penggambaran dan Tunku Mona mewakili Fabian untuk menerima trofi kemenangan.

FFAP 61 menyaksikan filem terbitan Thailand yang menjadi sebutan dunia, How To Make Millions Before Grandma Dies diangkat menjadi Filem Terbaik.

Naskhah meruntun jiwa itu turut meraih trofi Aktor Terbaik menerusi lakonan mantap Putthipong Assaratanakul serta membawa pulang kemenangan untuk kategori Lakon Layar Terbaik.

Festival Filem Asia Pasifik merupakan salah satu festival filem tertua dan paling berprestij di rantau Asia Pasifik. Diasaskan pada tahun 1953, festival ini telah menjadi platform penting bagi meraikan bakat sinematik dan kreativiti dari seluruh rantau, menghimpunkan pembuat filem, artis, dan pemain industri untuk mempamerkan kecemerlangan dalam bidang perfileman.

Dianjurkan oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia Pacific (FPA), FFAP diadakan setiap tahun dan telah dijalankan di pelbagai bandar di 25 negara dan wilayah yang berbeza. Festival ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada filem-filem terbaik, tetapi juga bertujuan untuk mempromosikan pertukaran budaya, pendidikan, pelancongan, serta kerjasama ekonomi di rantau Asia Pasifik.

Tahun ini, edisi ke-61 FFAP berlangsung dari 29 November hingga 1 Disember 2024, bertempat di Wyndham Ion Majestic Hotel, Genting Highlands, Pahang selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 2005.

Acara tiga hari ini dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Lomo Pictures Sdn Bhd, Kumpulan NCT dan Festival Seni Antarabangsa Asia Pasifik.

Jom kita semak senarai penuh pemenang Festival Filem Asia Pasifik Ke-61:

Senarai penuh anugerah dan pemenang:

1. Filem Terbaik: How To Make Millions before Grand Dies (Thailand)
2. Pengarah Terbaik: Anslem Chan Mou Yin – The Last Dance (Hong Kong)
3. Pelakon Lelaki Terbaik: Puthipong Assaratanakul – How To Make Millions Before Grandma Dies (Thailand)
4. Pelakon Wanita Terbaik: Michelle Wai – The Last Dance (Hong Kong)
5. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Fabian Loo – Rain Town (Malaysia)
6. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Azira Shafinaz – Indera (Malaysia)
7. Lakon Layar Terbaik: Thodsapon Thiptinnakorn, Pat Boonnitipat – How To Make Millions Before Grandma Dies (Thailand)
8. Sinematografi Terbaik: Joseph Christoforus Fofid – Woman From Rote Island (Indonesia)
9. Suntingan Filem Terbaik: William Chang Suk Ping, Curran Pang – The Last Dance (Hong Kong)
10. Skor Muzik Terbaik: Indraadip Dasgupta – Padatik (India)
11. Kesan Bunyi Terbaik: Book Chien, Sun Sy-Yuan, Thang Hsiang-Chu – Eye In The Storm (Taiwan)
12. Kesan Visual Terbaik: Archin Yen – Eye In The Storm (Taiwan)
13. Pengarahan Seni Terbaik: Yiu Hon Man – The Last Dance (Hong Kong)
14. Solekan / Rekaan Busana Terbaik: Somnath Kundu, Sabarni Das – Padatik (India)
15. Koreografi Aksi Terbaik: Blue Room (Philippines)
16. Filem Pendek Terbaik: The Lonely Piano (Malaysia)
17. Media Baru Terbaik: Wo Long Feng Chu
18. Anugerah Khas Juri I: EMP4T (Malaysia)
19. Anugerah Khas Juri II: Side-Seeing The Movie (Vietnam / Thailand)
20. FPA Most Outstanding Film Maker Award: Raymond Wong
21. Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Sammo Hung

Scroll to Top