am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Bangkai helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah di sini, minggu lalu dijangka dinaikkan esok.
Perkara itu dipercayai diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Tindakan antara Agensi bagi Operasi Menaikkan Bangkai Pesawat yang diadakan di Markas Operasi Bersepadu di lokasi nahas hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Johor Senior Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah dan Timbalan Komander (Operasi) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang Senior Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi.
Tinjauan di lokasi kejadian, selepas mesyuarat penyelarasan selesai, Muhd Zailani dan Ahmad Lokman serta pasukan bergerak ke lokasi helikopter terhempas dengan menaiki bot bagi menilai tindakan yang akan diambil petugas penyelamat.
Tugas penyelamatan esok akan dilaksanakan pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sudah membuat penandaan lokasi bangkai helikopter berkenaan, dibantu penyelam Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor.
Turut kelihatan, pasukan penyelam TLDM memeriksa peralatan selaman dan dijangka akan turun menyelam bagi memantau dan membuat persiapan akhir menjelang operasi menaikkan bangkai helikopter itu esok.
Terdahulu, seramai 25 orang terbabit dalam mesyuarat penyelarasan berkenaan termasuk dua pegawai Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Putrajaya, Pasukan Penyelam TLDM dan PPM Wilayah Dua Johor.
Turut terbabit, Lembaga Pelabuhan Johor, pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), doktor dan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Khamis lalu, helikopter bernombor pendaftaran 9M-PHG yang dinaiki lima kru dilaporkan terhempas ketika melakukan simulasi lintas hormat sempena program Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailanda-Singapura (MITSATOM) 2025.
Insiden itu menyebabkan seorang kru, Konstabel RG Devendran dari Balai Polis Tanjung Kupang dilaporkan masih kritikal.
Selain itu, Koperal Adeline Liu Yan Sin dari PGU yang dilaporkan kritikal kini sudah beransur pulih, manakala juruterbangnya, Asisten Komisioner Faizul Muhammad; pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin yang cedera dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd