ANKARA – Ahli arkeologi menemui bangkai kapal yang dipercayai paling tua pernah ditemukan di dunia di luar pesisir Pulau Kekova, wilayah Antalya, Turkiye.
Penemuan itu dianggarkan berusia antara 4,400 hingga 4,700 tahun, menjadikannya berasal dari Zaman Gangsa Awal, iaitu sekitar tempoh pembinaan Piramid Agung Giza di Mesir.
Walaupun struktur kayu kapal itu tidak lagi wujud, penyelidik menemukan lebih 30 bekas seramik penyimpanan atau amphora bersama tiga sauh batu di dasar laut pada kedalaman kira-kira 30 meter.
Ketua ekspedisi daripada Universiti Akdeniz, Prof Hakan Oniz, berkata kapal dagang sepanjang kira-kira 10 meter itu dipercayai digunakan untuk membawa muatan merentasi Laut Mediterranean.
Menurut beliau, reka bentuk amphora yang ditemukan sepadan dengan bekas seramik dari Mesir dan Asia Barat yang diketahui berusia antara 4,400 hingga 4,700 tahun, sekali gus mengesahkan usia bangkai kapal berkenaan.
Beberapa amphora yang ditemukan dalam keadaan baik masih mengandungi sisa bahan yang dipercayai merupakan sebahagian daripada muatan asal kapal itu.
Pakar arkeologi dari Universiti Macquarie, Australia, Dr Karin Sowada, berkata pasukan penyelidik kini menjalankan analisis bagi mengenal pasti kandungan asal bekas tersebut, yang mungkin terdiri daripada minyak zaitun, wain atau resin pokok.
Penemuan itu turut memberikan gambaran baharu mengenai aktiviti perdagangan maritim dunia purba.
Ahli arkeologi percaya kapal tersebut berlayar dari pantai timur Mediterranean dan mungkin menuju ke kota purba Troy di Turkiye atau penempatan tamadun Minoa di Crete.
Artifak yang ditemui akan dipamerkan di Muzium Arkeologi Bawah Air Mediterranean di Antalya yang dijangka dibuka dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Sebelum ini, rekod bangkai kapal tertua dipegang oleh sebuah kapal yang ditemui di perairan Pulau Dokos, Greece, yang dianggarkan berusia kira-kira 4,200 tahun. – Awani



