Bangkok United, Lion City Sailors FC antara cabaran sukar Selangor di ACL 2

Bangkok United, Lion City Sailors FC antara cabaran sukar Selangor di ACL 2
Bangkok United, Lion City Sailors FC antara cabaran sukar Selangor di ACL 2

Selangor diundi dalam Kumpulan G di ACL 2.

SELANGOR FC boleh menarik nafas lega apabila tidak diundi menentang pasukan gergasi dari Jepun dan Korea Selatan pada saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini.

Dalam majlis undian yang berlangsung pada Jumaat, skuad Gergasi Merah itu diundi dalam Kumpulan G pada saingan zon Timur bersama kesemua pasukan dari rantau ASEAN.

Bagaimanapun, anak buah Katsuhito Kinoshi tetap berdepan cabaran sukar apabila perlu menentang naib juara Liga Thai 1, Bangkok United selain dijadualkan bertemu juara Liga Singapura yang juga naib juara ACL 2 musim lalu Lion City Sailors FC.

Persib Bandung dari Indonesia yang kini dibimbing bekas jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak turut menjadi penghalang buat misi Selangor kali ini.

Untuk rekod, kempen Selangor pada edisi lalu berakhir di peringkat kumpulan selepas menamatkan saingan di tangga ketiga.

Saingan ACL2 dibahagikan kepada dua zon iaitu Asia Barat dan Asia Timur dengan kedua-dua wakil hanya akan bertemu di pentas final.

Sebanyak 32 pasukan beraksi musim ini, dengan setiap zon menampilkan 16 kelab.

Fasa kumpulan ACL2 musim ini dijadualkan berlangsung dari September hingga Disember 2025.

Scroll to Top