Banglo elit jadi sarang 'scammer', 14 warga China ditahan

Banglo elit jadi sarang 'scammer', 14 warga China ditahan

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sebuah banglo mewah tiga tingkat di kawasan elit sekitar bandar raya ini dipercayai dijadikan pusat kegiatan penipuan dalam talian membabitkan warga asing.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Sabah menyerbu banglo berkenaan menerusi Ops Serkap, malam tadi, dan menahan 14 lelaki warga China berusia antara 26 hingga 44 tahun.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, pihak berkuasa turut merampas 75 telefon bimbit dan 14 komputer riba yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi dijalankan hasil risikan selama seminggu sebelum sepasukan 49 pegawai penguat kuasa digerakkan ke lokasi.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua lelaki terbabit dipercayai memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial, namun sebahagian besar sudah tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati 13 lelaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.

“Seorang lagi disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sitti Saleha berkata, siasatan awal turut mendapati semua lelaki terbabit dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dari banglo berkenaan.

Katanya, selain telefon bimbit dan komputer riba, pihaknya turut merampas wang tunai RM3,742 serta 560 Yuan China.

“Turut dirampas ialah 13 kerusi, enam meja serta satu set peralatan dan kelengkapan internet yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

“Semua lelaki yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, Imigresen Sabah memandang serius kegiatan warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen, termasuk tinggal lebih masa dan berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan atau permit yang sah.

Menurutnya, kegiatan penipuan dalam talian yang disyaki membabitkan warga asing turut diberikan perhatian serius kerana boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Imigresen Sabah akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang negara.

“Orang ramai khususnya masyarakat Sabah juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing,” katanya.

Sitti Saleha berkata, kejayaan operasi berkenaan membuktikan komitmen berterusan Imigresen Sabah membanteras penyalahgunaan pas imigresen selain mengesan warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top