Bangun terlalu awal, otak pelajar terjejas?

Bangun terlalu awal, otak pelajar terjejas?

Jakarta: Keputusan kerajaan wilayah Jawa Barat di Indonesia mewajibkan semua pelajar bermula dari tahap tadika hingga sekolah menengah atas (SMA) perlu hadir ke sekolah seawal jam 6.30 pagi bermula pertengahan Julai ini, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar pendidikan dan neurosains yang bimbang golongan itu berisiko alami gangguan otak sebab kurang tidur.

The Jakarta Post melaporkan, arahan itu diumumkan Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, menerusi surat pekeliling pada 28 Mei lalu sebagai sebahagian daripada usaha menanam disiplin dan membanteras masalah kenakalan remaja termasuk pergaduhan jalanan, pengaruh geng dan ketagihan permainan video dalam talian.

Langkah itu turut disokong dengan pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam bagi golongan berkenaan serta menghantar pelajar bermasalah ke kem ketenteraan, satu pendekatan yang dikritik hebat oleh pakar perkembangan kanak-kanak kerana dikhuatiri memberi kesan psikologi berpanjangan.

Menerusi pekeliling itu, waktu pembelajaran yang lebih awal dikatakan bertujuan mematuhi Peraturan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan No. 23/2017 serta menyokong pembentukan generasi Pancawulya — satu konsep pembinaan jati diri yang menekankan lima nilai budaya Sunda iaitu bageur (baik), cageur (sihat), bener (benar), pinter (bijak) dan singer (cekap).

Namun, langkah itu dikritik kerana didakwa tiada asas saintifik dan boleh memberi kesan buruk kepada perkembangan otak pelajar terutama dalam usia mentah yang memerlukan tidur mencukupi.

Penyelaras Nasional Persatuan Pendidikan dan Guru (P2G) Satriwan Salim berkata, dasar itu tidak sesuai dilaksanakan di kawasan luar bandar seperti di Jawa Barat kerana ramai pelajar tinggal lebih 10 kilometer dari sekolah.

“Daripada ubah waktu sekolah, lebih baik kerajaan perbaiki kualiti persekitaran pembelajaran,” katanya sambil menambah dasar itu bercanggah dengan perintah berkurung malam yang bertujuan menggalakkan rutin tidur lebih sihat.

Beliau berkata, jika sekolah mula terlalu awal, ia hanya menyebabkan pelajar kurang tidur, tumpuan terganggu, daya ingatan merosot, masalah metabolik, keletihan, keresahan dan prestasi akademik menurun.

Pakar komunikasi neurosains, Trisa Triandesa, turut memberi amaran bahawa remaja berusia 13 hingga 18 tahun secara semula jadi mengalami perubahan biologi yang menyukarkan mereka tidur sebelum jam 11 malam.

“Memaksa mereka bangun awal untuk ke sekolah hanya akan menjejaskan kesihatan otak. Kalau nak bentuk disiplin pelajar, jangan sampai korbankan fungsi otak mereka,” katanya menerusi Instagram.

Katanya, pelbagai kajian menunjukkan waktu mula sekolah yang lebih lewat dapat memperbaiki prestasi pelajar, emosi dan kesihatan mental mereka.

Pemerhati pendidikan, Ina Liem, menyifatkan dasar ini sebagai tindakan populis yang tiada keperluan mendesak dan tidak berasaskan data.

“Isu sebenar pendidikan hari ini ialah kecekapan belanjawan, tadbir urus sekolah dan kualiti pengajaran — bukannya waktu mula sekolah,” katanya kepada The Jakarta Post.

Ina menyokong perintah berkurung malam kerana menggalakkan pembabitan ibu bapa namun menolak dasar waktu sekolah awal yang menurutnya bukan satu bentuk disiplin sebenar.

“Dasar pendidikan tak sepatutnya hanya jadi projek untuk jaga imej, sebaliknya perlu berpaksikan strategi menyeluruh berasaskan data,” katanya.

Kajian di Singapura pada 2015 mendapati kelewatan waktu mula sekolah sebanyak 45 minit sudah cukup untuk meningkatkan tahap kewaspadaan dan kesejahteraan pelajar sekolah rendah dalam suasana akademik yang kompetitif.

Manakala kajian di England pada 2017 menunjukkan waktu sekolah menengah yang bermula jam 10 pagi berjaya mengurangkan ketidakhadiran pelajar sebanyak 50 peratus dan meningkatkan prestasi akademik sebanyak 12 peratus.

Negara-negara dengan sistem pendidikan terbaik di dunia juga melaksanakan waktu mula sekolah yang lebih lewat.

Di Finland, kelas biasanya bermula sekitar jam 9 pagi, sekali gus mengurangkan tekanan dan meningkatkan tumpuan pelajar, manakala Korea Selatan sejak 2015 mengubah waktu sekolah dari jam 7.30 pagi kepada jam 9 pagi bagi membolehkan pelajar bersarapan bersama keluarga serta mengurangkan masalah kurang tidur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top