SHAH ALAM – Usahawan muda tempatan disaran membina kapasiti kukuh di peringkat domestik terlebih dahulu sebelum meluaskan pasaran produk mereka ke peringkat ASEAN.
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri berkata, pelbagai agensi terlibat termasuk SME Corp di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan bantuan dana bagi membantu pembangunan industri pada peringkat awal.
“Pada peringkat permulaan, KUSKOP akan membangunkan industri ini melalui SME Corp. Apabila mereka sudah mencapai tahap mikro atau kecil, kita akan bantu lagi untuk mengembangkan produk mereka bagi memenuhi keperluan domestik.
“Kemudian apabila mereka matang dan bersedia untuk mengeksport, MITI akan bantu mereka untuk menembusi pasaran luar negara,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran rasmi bateri automotif ASTRA yang menerima pensijilan SIRIM bagi kesemua 28 SKU produknya, di Kampung Baru Subang, Jalan Bukit Cherakah, Seksyen U16, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Hanafi berkata, MITI akan mula memainkan peranan apabila usahawan berkenaan telah menunjukkan kejayaan dan kesiapsiagaan di peringkat domestik.
“Kalau mereka sudah bersedia, kita akan bantu mereka untuk eksport, tetapi mereka perlu bangunkan kapasiti di peringkat tempatan dahulu,” katanya.
Jelasnya, isu kekurangan modal turut ditangani menerusi pelbagai skim yang disediakan, namun usahawan perlu membuktikan bahawa projek mereka berpotensi dan berkualiti.
“Banyak skim sebenarnya ada. Mereka cuma perlu yakinkan pelabur, khususnya pemberi dana, bahawa projek mereka ini adalah projek yang bagus dan mampu mengeluarkan produk berkualiti untuk pasaran domestik terlebih dahulu,” ujarnya.
Mengulas mengenai peruntukan khas untuk usahawan muda, katanya, terdapat banyak program dan dana pemula disediakan menerusi pelbagai inisiatif startup.
Dalam majlis sama, turut dilancarkan ialah Makmal Kualiti Bateriku, iaitu fasiliti dalaman bagi menjalankan ujian menyeluruh terhadap prestasi, ketahanan dan keselamatan setiap bateri ASTRA yang dibekalkan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi Zakaria Ansari.