farid_noh@bh.com.my
Kota Tinggi: Mangsa banjir negeri ini melonjak kepada 897 penduduk daripada 303 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, setakat 8 pagi ini.
Ia berbanding 335 mangsa daripada 124 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS, 10 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, hujan lebat berterusan sejak 24 jam lalu menyebabkan mangsa banjir negeri ini dijangka terus bertambah dengan jangkaan banjir di kawasan rendah di beberapa daerah lain.
Namun, setakat ini katanya, Kota Tinggi paling terjejas dengan kesemua 13 PPS berada di daerah berkenaan.
“Mangsa teramai membabitkan 175 penduduk daripada 50 mangsa di PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), membabitkan penduduk Taman Mawai di bandar.
“Ia diikuti seramai 169 penduduk daripada 51 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, membabitkan penduduk dari Taman Aman dan Taman Mawai.
“Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa waspada dan patuh kepada arahan pemindahan dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Dijangkakan, mangsa banjir Johor akan bertambah susulan hujan lebat masih berterusan dan tidak berhenti sejak 24 jam lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Negeri Johor memaklumkan lima sungai di negeri ini merekodkan paras bahaya, dengan lapan sungai catat paras amaran dan enam sungai pada tahap waspada.
“Sungai yang merekodkan paras bahaya termasuk Sungai Kahang, Kluang; Sungai Sayong, Kulai Sungai Ulu Pulai, Pontian; Sungai Skudai dan Sungai Tebrau di Johor Bahru,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd