Banjir: Agensi berkaitan diarah buat penilaian kerosakan infrastruktur awam

Banjir: Agensi berkaitan diarah buat penilaian kerosakan infrastruktur awam

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Agensi berkaitan sudah diarahkan turun padang untuk membuat penilaian mengenai kerosakan infrastruktur awam yang terjejas teruk akibat banjir di setiap negeri.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia bagi memudahkan kementeriannya untuk menyediakan peruntukan bagi membaiki kerosakan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, setakat pihaknya belum menerima hasil laporan penilaian itu memandangkan banjir gelombang pertama baru saja tamat.

“Dari segi infrastruktur, agensi berkaitan sudah pun diarahkan turun padang termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat jalan rosak, berapakah peruntukan yang diperlukan untuk proses pemulihan.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sudah diarahkan untuk melihat mana-mana ruang yang boleh kita bantu melalui KPKT, itu akan diberikan perhatian,” katanya selepas Program Komunitiku Sihat dan Santunan Kasih Kota Lama di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Nordin Pauzi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Beliau berkata, sehingga belum diterima hasil laporan, tidak dapat dirumuskan sama ada peruntukan itu nanti besar atau kecil kerana perlu ada rekod sahih untuk dinilai.

Ketika ditanya mengenai persediaan banjir untuk gelombang kedua, Aiman Athirah berkata, pihaknya sudah bersiap siaga dengan lebih 1,300 keanggotaan.

Menurutnya, cuti semua pegawai dan anggota bomba termasuk menteri serta timbalan masih dibekukan seperti arahan asal.

“Persiapan sudah dibuat seperti mana rancangan asal, segala aset sudah mengambil tempat, pasukan bomba kita pun lebih 1,300 akan digerakkan bila-bila masa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top