Banjir, air pasang hanyutkan sampah di laluan pesisir pantai Perlis

Banjir, air pasang hanyutkan sampah di laluan pesisir pantai Perlis

am@hmetro.com.my

Kangar: Pertembungan banjir dan juga fenomena air pasang di perairan Perlis pada waktu ini menyebabkan pelbagai timbunan sampah terdampar di jalan pesisiran pantai antara Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, hingga Sungai Padang, Sanglang.

Tinjauan di sepanjang jalan berkenaan yang berjarak 2.6 kilometer mendapati pelbagai timbunan sampah sarap yang sebelum ini banyak tersangkut di batuan tembok pemecah ombak di pantai laluan itu akhirnya bertaburan hingga ke tengah laluan jalan raya itu dan sekaligus menyukarkan laluan pelbagai kenderaan di laluan itu.

Malah, apa yang mengejutkan adalah terdapat juga bangkai kambing yang dipercayai mati dan dihanyutkan ombak hingga ke terdampar ke tengah jalan itu apabila fenomena air pasang berlaku.

Sementara itu, sehingga jam 7 petang hari ini, hanya dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di Perlis iaitu di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Arau dan PPS Dewan SK Sena di Kangar membabitkan jumlah mangsa keseluruhan adalah 45 orang dari 15 keluarga.

Daripada jumlah itu, 12 orang daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Dewan SK Sena manakala selebihnya di PPS Dewan SK Arau.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang melakukan tinjauan di kedua-dua PPS berkenaan melihat kejadian banjir kali ini walaupun jumlah mangsa yang terjejas tidaklah ramai namun situasi yang berlaku ini serius dan teruk berbanding tahun sebelumnya.

Malah, beliau turut menggesa kepada pihak yang terjejas akibat bencana banjir di negeri itu supaya sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah kerana masih terdapat sebilangan kecil mangsa banjir yang enggan berpindah dengan alasan mahu menjaga harta benda.

“Penduduk yang dinasihatkan berpindah ini perlu mengikut arahan (pihak berkuasa) kerana apabila air (banjir) mulai naik pada waktu malam maka ia menyukarkan lagi usaha untuk berpindah.

“Selain itu juga, pelbagai ancaman sering berlaku ketika banjir seperti renjatan elektrik disebabkan kawasan yang terjejas berkemungkinan mempunyai wayar elektrik yang boleh berlaku renjatan elektrik dan keduanya adalah ancaman binatang berbisa seperti ular yang sering merayap ketika banjir berlaku sehingga boleh mengancam nyawa penduduk yang terjejas,” katanya.

Mohd Shukri berkata, pihaknya termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal akan melihat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa.

“Malah Ketua Pengarah Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah pun meluluskan untuk menggerakkan Tabung Bencana NADMA dalam membantu mangsa yang terjejas banjir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top