Banjir: Belum ada keperluan isytihar darurat – PM

Banjir: Belum ada keperluan isytihar darurat – PM

zatuliffah@hmetro.com.my

Setiu: Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat walaupun jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir kini mencecah lebih 150,000 orang di 10 negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, seluruh agensi dan jentera keselamatan berjaya menangani situasi banjir di negeri-negeri yang terbabit dengan baik.

“Sekarang ini daripada segi pasukan keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara tidak memikirkan keperluan itu kerana seluruh jentera keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seluruh jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah nampak menangani masalah dengan baik.

“(Jadi) tiada keperluan sama sekali untik diisytihar darurat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, lebih 150,000 mangsa dari 10 negeri dilaporkan terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara setakat 1 tengah hari tadi.

Ia membabitkan Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu.

Menerusi itu, Kelantan merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu lebih 96,000 orang diikuti Terengganu lebih 41,000 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top