Banjir: Bomba selamatkan 4 lelaki terperangkap dalam kereta

Banjir: Bomba selamatkan 4 lelaki terperangkap dalam kereta

am@hmetro.com.my

Kuching: Empat lelaki diselamatkan bomba selepas kenderaan mereka terperangkap dalam banjir di Jalan Penerangan, Sepupok Niah, dalam Bahagian Miri, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Oeprasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.09 pagi.

Menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah diarah ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati empat lelaki berada di dalam pikap yang terperangkap akibat banjir.

“Bomba memindahkan kesemua mangsa menggunakan bot sebelum membawa keluar kesemua mangsa yang tidak dikenal pasti identiti ke tempat selamat,” katanya.

Sebelum itu, JBPM turut memindahkan 375 penduduk daripada 84 keluarga di dua rumah panjang di Sepupok, Batu Niah juga dalam Bahagian Miri selepas kediaman mereka dilanda banjir.

JBPM menerima panggilan meminta bantuan pemindahan itu pada jam 12.30 tengah malam.

“Enam anggota dari BBP Batu Niah diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi yang terletak 11 kilometer dari balai itu pada jam 12.42 tengah malam, didapati Rumah Panjang Aron Skim dan Rumah Panjang Lumpoh, dinaiki air.

“Bomba membantu menjalankan operasi pemindahan semua mangsa ke rumah saudara mara yang berdekatan,” katanya.

Menurutnya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan pemantauan mendapati paras air menunjukkan trend naik.

“Seramai 119 mangsa daripada 27 keluarga yang dipindahkan itu adalah penghuni Rumah Panjang Lumpoh manakala 256 mangsa daripada 57 keluarga adalah penduduk Rumah Panjang Aron,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top