Banjir di Australia ragut enam nyawa

Banjir di Australia ragut enam nyawa

SYDNEY: Banjir di pantai timur Australia menyebabkan kematian satu lagi, menjadikan jumlah keseluruhan ekoran cuaca ekstrem itu naik kepada enam mangsa, ketika hujan terus bergerak ke arah selatan, hari ini.

Polis di wilayah Queensland berkata, seorang lelaki berusia 34 tahun maut, selepas keretanya ditenggelami air banjir sekitar jam 2.30 pagi tadi.

Katanya,lelaki terbabit berjaya keluar dari kenderaannya dan cuba berenang ke tempat selamat, tetapi lemas sebelum mayatnya ditemui tidak lama kemudian.

Hujan lebat melanda timur Australia sejak lebih dari seminggu lalu, mengakibatkan banjir besar berlaku, menenggelamkan kediaman dan jalan raya serta menghanyutkan kenderaan.

Datuk Bandar Queensland, Brisbane, Adrian Schrinner menyifatkan cuaca yang dialami di Queensland Tenggara itu sebagai ‘bom hujan’.

Ketua Menterinya, Annastacia Palaszczuk pula merayu supaya orang ramai yang tinggal di Brisbane terus menetap di rumah ketika cuaca buruk ini bergerak ke arah selatan, menuju kawasan kediaman mereka, hari ini.

“Air ini tidak berhenti pada masa ini. Hujan lebat dijangka berterusan hingga minggu depan, lebih 1,400 rumah di Brisbane berisiko banjir,’ katanya.

Biro Meteorologi Australia sudah mengeluarkan amaran banjir untuk kawasan di Queensland dan utara New South Wales, dengan lebih 300 mm (11.8 inci) turun di beberapa kawasan dalam tempoh 24 jam lalu.

Sementara itu, polis terus mencari seorang mangsa lelaki berusia 70-an yang terjatuh ke dalam Sungai Brisbane pada Jumaat lalu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top