Banjir di Kelantan dan Terengganu semakin pulih, lebih banyak PPS ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kelantan: Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu dilaporkan semakin surut dengan menyaksikan penutupan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 44 orang setakat 5 petang berbanding 109 orang pagi tadi dan dua operasi PPS di Pasir Puteh menempatkan 50 mangsa sudah ditutup pada petang semalam.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir daripada lapan keluarga yang masih terjejas ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Pasir Mas.

Sementara itu, mengikut laporan info banjir paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 9.23 meter (bahaya 9 m), setakat 5 petang semalam.

Di Terengganu, hanya satu PPS dibuka di Terengganu setakat 4 petang iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang yang menempatkan sembilan mangsa daripada empat keluarga.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata mangsa masih tidak dibenarkan pulang ke rumah disebabkan fenomena banjir termenung.

“Kawasan rumah mereka agak rendah dan setiap kali hujan lebat, memang akan menjadi tempat takungan air yang ada kalanya memerlukan masa hingga empat hari untuk air surut sepenuhnya,” katanya.

Sumber: Bernama

Malay News

National Desk