Banjir di Pahang dan Kelantan meningkat, Terengganu bertambah baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kelantan: Keadan banjir di Kelantan dan Pahang masih mencatat peningkatan manakala keadaan di Terengganu semakin baik sehingga jam 12 tengahari tadi.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di tiga jajahan di Kelantan meningkat kepada 400 orang sehingga 8 pagi tadi berbanding 323 orang petang semalam.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 87 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) jajahan Kota Bharu iaitu 26 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Melor, 50 orang di SK Tiong dan 11 orang di Islamic Out Reach ABIM, Kok Lanas.

Jajahan Pasir Puteh pula mencatat jumlah mangsa tertinggi setakat ini dengan enam PPS dibuka iaitu Dewan Kompleks Kamil (67 orang), SK Changgai (17 orang), SK Bukit Jawa 2 (37 orang), SK Kamil 3 (44 orang), SK Sungai Petai (23 orang) dan SK Wakaf Raja (31 orang).

Di Pasir Mas pula, 74 mangsa daripada 16 keluarga berada di PPS SK Gual Tok Deh dan 20 mangsa di PPS SK Kubang Kual.

Manakala di PPS Balai Raya Padang Kijang, Tanah Merah yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga sebelum ini, ditutup.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di setakat 8 pagi tadi menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.59 meter (m) (bahaya 9 m) yang menunjukkan penurunan.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 156 mangsa melibatkan 52 keluarga berbanding petang semalam iaitu 109 mangsa daripada 34 keluarga dengan lapan PPS di Raub beroperasi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, SK Ulu Sungai menempatkan mangsa paling ramai iaitu 42 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Sungai Ulu diikuti Masjid Kampung Kuala Semantan (38 orang daripada 12 keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Pia (26 orang daripada 10 keluarga) dan Masjid Kuala Temau (16 orang daripada tujuh keluarga).

Selain itu, Balai Raya Kampung Sengkela pula menempatkan 12 orang daripada empat keluarga, SK Tersang (11 orang daripada tiga keluarga), Balai UMNO Kampung Batu Talam (enam mangsa dari empat keluarga) dan Balai Raya Kampung Chenua (lima orang daripada satu keluarga).

Sehingga 8 pagi tadi Sungai Jempol di Ran Felda Jengka, Maran telah melepasi tahap waspada dengan mencatat 29.6 meter paras air berbanding 29 meter.

Di Terengganupula, situasi banjir bertambah baik dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,621 orang daripada 416 keluarga setakat 8 pagi tadi, berbanding 2,130 orang daripada 550 keluarga pada 4 petang semalam.

Penurunan itu berikutan penutupan 10 PPS iaitu lima di Besut, dua di Marang, dua di Hulu Terengganu dan satu di Dungun menjadikan jumlah terkini PPS yang masih beroperasi ialah 48 buah.

 

ZA137 Malay News

National Desk