Aceh: Banjir dan tanah runtuh dahsyat mengorbankan 1,006 orang di Indonesia setakat semalam, ketika negara itu bergelut dengan usaha bantuan berskala besar.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional, bencana yang melanda barat laut pulau Sumatera sejak dua minggu lalu turut mencederakan lebih 5,400 orang.
Hujan lebat yang membawa maut itu antara bencana paling buruk melanda Sumatera sejak tsunami memusnahkan kawasan di hujung utara pulau itu pada 2004.
Jurucakap agensi bencana, Abdul Muhari memaklumkan, angka korban dijangka meningkat dengan 217 orang masih hilang dan pihak berkuasa meningkatkan bantuan ke kawasan paling teruk terjejas.
Difahamkan juga, 1.2 juta penduduk terpaksa berlindung di pusat perlindungan sementara selepas kawasan luas musnah akibat hujan, lumpur dan pokok tumbang.
Seorang mangsa, Sri Lestari, 50, berkata, kebanyakan rumah di daerah Aceh Tamiang musnah hingga ke tanah dan dia kini tinggal di khemah bersama tiga anaknya.
Suaminya, Tarmiji, 55, berkata, rumah mereka hampir runtuh selepas dihentam batang pokok yang dihanyutkan air banjir.
Kekecewaan meningkat dalam kalangan mangsa banjir yang mengadu mengenai kelembapan usaha bantuan.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, keadaan bertambah baik dengan beberapa kawasan yang sebelum ini terputus kini boleh diakses.
Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit kelewatan, keadaan pusat pemindahan adalah baik dengan perkhidmatan mencukupi dan bekalan makanan mencukupi.
Susulan itu, menurut media, terdapat barisan panjang trak dan kereta persendirian mengagihkan makanan, air serta bekalan di jalan utama melalui Aceh Tamiang.
Agensi pengurusan bencana pula memaklumkan, lebih 11.7 tan bantuan dihantar ke Sumatera melalui laut, darat dan udara pada semalam, dan pembinaan pusat perlindungan sementara sudah dimulakan.
Agensi meteorologi Indonesia memberi amaran cuaca buruk dijangka berterusan, khususnya hujan lebat di Sumatera.
© New Straits Times Press (M) Bhd




