'Banjir kali ini lebih buruk, tenggelamkan masjid kami'

'Banjir kali ini lebih buruk, tenggelamkan masjid kami'

asmaini@mediaprima.com.my

Sepang: ” Banjir yang berlaku kali ini jauh lebih buruk berbanding bah besar pada tahun 2021.

“Air naik begitu cepat sehingga paras pinggang dan menenggelamkan keseluruhan kawasan masjid,” kata Timbalan Nazir Masjid Al-Makmur, Kampung Giching, Junaide Kamaruzzaman.

Menurut Junaide, hujan tanpa henti sejak petang Khamis lalu menyebabkan air Sungai Labu melimpah ke Sungai Giching.

Katanya, air dari Sungai Giching mula melimpah ke kawasan berhampiran sebelum subuh pagi Jumaat dan lebih 5,000 penduduk di sekitar kampung berkenaan sudah diminta berjaga-jaga.

” Yang paling terjejas teruk adalah rumah-rumah yang terletak berhampiran sungai termasuk Masjid Al-Makmur ini.

“Ketika bah besar pada tahun 2021, hanya limpahan air sungai biasa tetapi kali ini ia membawa bersama lumpur yang tebal.

“Banjir kali ini merosakkkan hampir keseluruhan barangan masjid termasuk permaidani, perabot serta peralatan elektrik lain dengan kerugian dianggarkan mencecah RM70,000,” katanya.

Junaide berkata, permaidani masjid berkenaan baharu sahaja ditukar baharu pada Ramadan lalu dengan kos sebanyak RM20,000.

Namun kata Junaide, pihak masjid bernasib baik kerana sebuah van jenazah sempat dialihkan ke kawasan lebih tinggi.

” Mengikut perancangan, penduduk akan bergotong-royong membersihkan sepenuhnya masjid pada Isnin ini kerana kami masih risau akan berlakunya gelombang kedua

“Bagaimanapun ketika ini masjid sudah boleh digunakan kerana kawasan kaki lima dan ruang solat utama sudah dibersihkan,” katanya.

Bagi yang ingin menyumbang untuk masjid ini, bantuan boleh disalurkan ke akaun Masjid Al-Makmur Kg Giching, 8600621948 (CIMB Bank).

Sementara itu, penduduk, Muhd Razif Edul, 35, berkata, dia terpaksa memindahkan isterinya yang masih berpantang ke dalam kereta dan berlindung di kawasan lebih tinggi selepas kampung berkenaan ditenggelami banjir awal pagi semalam.

Katanya, sebelum itu, dia memindahkan isteri serta tiga anak termasuk bayi berusia sebulan ke rumah ibunya selepas kediaman mereka dinaiki air kira-kira jam 9.30 pagi.

“Namun tidak lama selepas itu, rumah mak turut dinaiki air menyebabkan kami semua terpaksa berpindah ke dalam kereta dan bergerak ke kawasan lebih tinggi.

“Jam 7 malam barulah kami dapat kembali ke rumah mak selepas air mulai surut.

“Pagi ini saya kembali meninjau keadaan rumah, keadaan memang menyedihkan kerana dipenuhi lumpur tebal dan hampir semua peralatan elektrik rosak kerana tidak sempat diselamatkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top