Banjir: Kerugian hasil pertanian cecah RM16 juta

Banjir: Kerugian hasil pertanian cecah RM16 juta

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganggarkan jumlah kerugian kerosakan padi, sayuran dan perikanan akibat banjir yang berlaku di seluruh negeri adalah lebih kurang RM16 juta setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah kerugian dijangka meningkat selepas bancian akhir dibuat selepas banjir.

Katanya, pihak kementerian melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan semua agensi di bawah KPKM akan mendapatkan maklumat yang lengkap.

“Sebaik maklumat kerugian yang diperlukan diperoleh, berbagai bentuk bantuan akan diberikan mengikut kadar sedia ada.

“Kalau boleh tambahan peruntukan baharu kita akan cuba membantu untuk membantu mereka yang terjejas dalam pertanian khususnya tanaman padi yang paling banyak terjejas diikuti dengan ternakan, sayuran dan perikanan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat KADA Jajahan Pasir Mas, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mendengar taklimat daripada Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa dan Pengarah Pertanian Negeri Kelantan, Norbahani Zakaria selama 30 minit berkenaan keadaan banjir di Kelantan yang menjejaskan sektor pertanian.

Mohamad berkata, padi yang tenggelam kebanyakannya adalah yang hampir hendak dituai dan situasi yang berlaku ini mengakibatkan kekurangan bekalan beras.

“Malah kemarau panjang yang dilalui sebelum ini juga menyebabkan pengurangan empat peratus hasil keluaran beras negara dan bencana banjir kali ini akan menambah lagi kekurangan bekalan berkenaan.

“Bagaimanapun, keadaan ini hanyalah sementara disebabkan negara masih bergantung kepada beras import,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, berdasarkan laporan awal kerugian tanaman padi padi di Kelantan adalah hampir RM9 juta membabitkan 764 pesawah dengan keluasan 1,609 hektar.

“Lima jajahan yang terjejas ialah Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok dan Tumpat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top