Banjir: Keselamatan calon SPM di Johor diselaras

Banjir: Keselamatan calon SPM di Johor diselaras

KLUANG: Aspek keselamatan melibatkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang menjadi mangsa banjir akan diselaraskan oleh pegawai daerah di lokasi terjejas.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata hal ini bagi memastikan mangsa banjir yang perlu menghadiri peperiksaan tidak ketinggalan atau tercicir untuk mendudukinya sekiranya bencana berkenaan berlaku secara berlarutan.

Katanya, kejadian banjir melibatkan pelajar yang menduduki ujian SPM ini bukan perkara baharu malah tahun-tahun sebelum ini sekolah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

“Bagaimanapun, kebijaksanaan pegawai daerah untuk atur gerak harap dapat dilaksanakan dengan baik.

“Hal ini bagi memastikan semua perkara berjalan dengan baik dan lancar. Penyelarasan ini akan dibuat di peringkat daerah,” katanya pada sidang media selepas majlis Ramah Mesra Bersama Orang Muda Simpang Renggam di Hutan Bandar Simpang Renggam malam tadi.

Setakat 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,024 orang di 13 PPS berbanding 330 orang di tujuh PPS pada 2 petang.

Empat daerah di Johor yang terjejas bencana berkenaan melibatkan Johor Bahru sebanyak 404 mangsa diikuti Kota Tinggi (348), Mersing (212) dan Kluang (60).

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata segala persiapan bagi menghadapi situasi banjir telah mula dilaksanakan sejak November tahun lepas.

“Persiapan ini bukan sehari dua kita buat, kita telah bermesyuarat dari segi tindakan penyelarasan sejak November lagi, jadi segala keperluan insya-Allah setiap daerah di bawah kepimpinan pegawai daerah memang sudah buat persediaan yang rapi.

“Dalam masa yang mencabar ini, sama-sama kita berdoa semoga tiada banjir yang besar kerana saya dimaklumkan bahawa air pasang tak akan berlaku dalam masa tiga, empat hari ini dan kebiasaannya banjir akan berlaku bila hujan lebat ditambah dengan air pasang,” katanya.

Ujian Bertutur peperiksaan SPM bagi Bahasa Melayu akan dilaksanakan bermula 8 hingga 11 Januari ini, diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17 – 23 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (29 Januari) serta peperiksaan bertulis (30 Januari hingga 7 Mac).