
Sekurang-kurangnya 13 orang maut manakala lebih 20 kanak-kanak dari kem musim panas di sepanjang Sungai Guadalupe dilaporkan hilang susulan banjir kilat akibat hujan lebat semalaman di tengah Texas. Foto Reuters
HOUSTON – Sekurang-kurangnya 13 orang maut manakala lebih 20 kanak-kanak dari kem musim panas di sepanjang Sungai Guadalupe dilaporkan hilang susulan banjir kilat akibat hujan lebat semalaman di tengah Texas, menurut pihak berkuasa pada petang Jumaat, lapor Xinhua.
Timbalan Gabenor Texas Dan Patrick memaklumkan pada sidang media bahawa “kira-kira 23” kanak-kanak masih belum ditemui di Camp Mystic, sebuah kem musim panas untuk kanak-kanak perempuan yang menempatkan kira-kira 750 kanak-kanak.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 14 helikopter, 12 dron dan lebih 500 anggota penyelamat dikerahkan di sekitar kawasan kem itu, selain beberapa orang dewasa dan kanak-kanak telah diselamatkan dari pokok berhampiran.
Sementara itu, Syerif Kerr County Larry Leitha memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 13 orang terkorban akibat banjir di daerah itu dan beberapa lagi masih belum dapat dikesan.
Leitha menjangkakan lebih banyak kematian akan dilaporkan di daerah berkenaan.
“Kami masih giat mencari mereka yang masih berada di luar dan memerlukan bantuan,” kata Pengurus Kerrville City Dalton Rice.
Pada kira-kira 4 pagi waktu tempatan (0900 GMT), Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan telah menaikkan tahap amaran banjir kilat, yang membolehkan amaran kecemasan dihantar ke telefon penduduk dan mereka yang berada di kem sepanjang sungai, lapor NBC News.
Perkhidmatan itu turut memberi amaran bahawa “gelombang banjir besar dan berbahaya” sedang mengalir ke hilir Sungai Guadalupe.
Di Kerr County, paras Sungai Guadalupe naik kira-kira 2.3 meter kepada hampir kira-kira 9.1 meter semalaman dan dijangka memuncak pada kira-kira 10.4 meter di Spring Branch pada petang Jumaat, menurut perkhidmatan itu
Rakaman video dalam talian menunjukkan kereta, rumah mudah alih dan kenderaan rekreasi dihanyutkan ketika paras sungai meningkat secara mendadak di daerah itu.
Gabenor Texas Greg Abbott memaklumkan di X bahawa negeri itu sedang “menggerakkan semua sumber yang ada” untuk bertindak balas terhadap banjir. “Keutamaan segera ialah menyelamatkan nyawa,” kata beliau.
Lebih setengah juta penduduk di tengah Texas berada di bawah amaran banjir kilat setakat petang Jumaat. – Bernama