Banjir kilat, air pasang besar: PPS dibuka di Merbok

Banjir kilat, air pasang besar: PPS dibuka di Merbok

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini berikutan banjir kilat yang melanda hari ini susulan hujan lebat dan fenomena air pasang besar.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Amirul Asyraf Mohamad Mayidin berkata, PPS itu dibuka di Dewan Kampung Sungai Pial, 6.30 petang tadi.

Beliau berkata, kejadian banjir kilat ini berlaku pada 3.45 petang yang menyebabkan kawasan Kampung Huma dinaiki air.

“Kawasan Kampung Sungai Pial juga turut terjejas akibat banjir kilat namun bilangan mangsa masih dalam bancian.

“Hujan lebat yang melanda di Mukim Merbok menyebabkan punca banjir kilat berlaku selain air pasang besar.

“Paras air dilaporkan meningkat sehingga 0.5 meter menyebabkan 16 mangsa terpaksa berpindah ke PPS yang dibuka hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirul Asyraf berkata, kejadian itu menyebabkan kerosakan harta benda mangsa.

Beliau berkata, setakat ini keadaan terkini cuaca dilaporkan tiada hujan dan operasi disertai pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), APM dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top